
Seorang kanak-kanak Palestin dilaporkan meninggal dunia pada Ahad lepas ketika menunggu kelulusan pihak rejim Israel untuk keluar dari Gaza bagi mendapatkan rawatan perubatan. Ia berlaku di tengah-tengah krisis kesihatan yang meruncing di wilayah itu akibat sektor kesihatan yang telah musnah dalam perang genosid Israel.
Menurut ibu kanak-kanak tersebut, Iman Hamdouna, mereka mempunyai dokumen rujukan perubatan yang telah diluluskan untuk mendapatkan rawatan di luar negara. Namun anaknya, Nidal Abu Rabi’ah, 2 tahun setengah terpaksa menunggu selama 14 bulan untuk dibenarkan keluar dari wilayah yang menempatkan 2.3 juta rakyat Palestin tersebut.
“Israel menutup sempadan dan bunuh anak saya,” kata Hamdouna, sambil menambah Nidal menderita masalah hati kronik dan mengalami demam panas berbulan-bulan sebelum meninggal dunia.
Hospital-hospital di Gaza, yang kekurangan sumber akibat sekatan Israel tidak dapat membantu Nidal mahupun ribuan pesakit lain yang memerlukan rawatan perubatan yang lebih kompleks.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Zaher al-Wahidi berkata sejak penutupan sempadan Rafah pada 7 Mei 2024, seramai 1,360 pesakit telah meninggal dunia ketika menunggu untuk dibawa mendapatkan rawatan. Sementara ribuan lagi menunggu hanya untuk mendapatkan kelulusan untuk melalui sempadan Rafah yang dibuka secara terhad pada 2 Februari, dengan pergerakan sangat terbatas kerana proses kelulusan Israel yang sangat rumit dan perlahan.
Walaupun perjanjian gencatan senjata telah disepakati pada Oktober lalu, rejim Israel terus menyerang Gaza, membunuh lebih 600 rakyat Palestin. Kini di Gaza, kira-kira 350,000 pesakit sedang menderita memerlukan rawatan.
Kisah keluarga Nidal terus berlanjutan. Adik perempuannya, Rital Alaa Abou Rabi’ah, yang berusia sebulan setengah kini dirawat di Hospital Syuhada al-Aqsa, juga menderita masalah hati kronik. “Dia sedang terbaring menderita kesakitan di hospital. Anak saya seorang sudah meninggal dan saya takut kehilangan anak perempuan yang ini pula,” kata Hamdouna.
Di bawah perjanjian gencatan senjata Oktober lalu, pihak Israel berjanji membuka semula sempadan Rafah untuk evakuasi perubatan. Walaupun perjanjian menetapkan 50 pesakit sehari, namun jumlah sebenar jauh lebih rendah.
Menurut data Pejabat Media Kerajaan Gaza, antara 2 hingga 18 Februari 2026, hanya 1,148 Palestin melalui sempadan Rafah di kedua-dua arah, berbanding jumlah yang dipersetujui iaitu 3,400. Dalam tempoh itu, 640 pesakit berjaya keluar dan 508 kembali ke Gaza, manakala 26 Palestin lain ditolak permohonan semasa cuba meninggalkan wilayah itu.
Sumber: Al Jazeera