Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pegawai kanan tentera Israel dilaporkan mendesak supaya perang berskala penuh di Gaza disambung semula dengan alasan situasi semasa adalah “paling sesuai” untuk melancarkan serangan baharu terhadap HAMAS.


Menurut laporan Radio Tentera Israel, perbincangan tertutup dalam kalangan Staf Am tentera Israel menyaksikan beberapa pegawai menyeru operasi baharu bagi menewaskan HAMAS secara muktamad. Mereka mendakwa misi di Gaza belum selesai dan tentera Israel perlu meneruskan serangan kerana HAMAS masih enggan melucutkan senjata.


Ancaman itu muncul walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa secara rasmi sejak Oktober 2025. Walau bagaimanapun, rakyat Palestin di Gaza tidak pernah merasakan perang benar-benar berakhir. Kawasan seperti Khan Yunis dan Deir el-Balah terus menyaksikan serangan, letupan, tembakan dan pembunuhan bersasar hampir setiap hari.


Menurut sumber perubatan, sekurang-kurangnya 828 orang rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata bermula, manakala lebih 72,600 orang dilaporkan terkorban sejak perang meletus.


Israel mendakwa HAMAS terus mengukuhkan kawalan dan enggan menyerahkan senjata. Seorang pegawai kanan tentera Israel turut menyifatkan pusingan baharu pertempuran sebagai perang yang tidak dapat dielakkan. Namun, pengkritik menolak dakwaan itu dengan menegaskan bahawa kemusnahan besar-besaran, sekatan dan serangan berterusan ke atas Gaza telah mengehadkan sebarang keupayaan HAMAS untuk membina semula kekuatan.


Israel turut dilaporkan memperluas kawalan wilayahnya di Gaza sepanjang tempoh gencatan senjata. Dengan menolak “sempadan kuning” lebih jauh ke barat. Keadaan ini menunjukkan tentera Israel kini mengawal kira-kira 59 peratus wilayah Gaza, meningkat daripada sekitar 53 peratus ketika gencatan senjata mula berkuat kuasa.


Dalam masa sama, pelan antarabangsa yang disokong Amerika Syarikat (AS) mencadangkan pelucutan senjata HAMAS dalam tempoh 281 hari sebagai syarat kepada bantuan dan pembinaan semula Gaza. Namun, semua entiti utama Palestin menolak syarat tersebut dan menuntut Israel terlebih dahulu melaksanakan sepenuhnya kewajipannya di bawah perjanjian gencatan senjata, termasuk membenarkan kemasukan bantuan harian.


HAMAS pula menegaskan isu pelucutan senjata hanya boleh dibincangkan selepas Israel mematuhi sepenuhnya syarat perjanjian.


Walaupun tentera Israel dikatakan telah menyiapkan pelan operasi bagi serangan darat baharu, masih wujud perbezaan pandangan dalam kepimpinan ketenteraan Israel. Sebahagian pegawai bimbang operasi besar-besaran tanpa pengerahan pasukan simpanan tambahan akan memberi tekanan besar kepada anggota tentera, terutama mereka yang sudah menjalani puluhan hari perkhidmatan tahun ini.


Namun dengan serangan yang terus berlaku, kawalan wilayah yang semakin meluas dan ancaman perang baharu yang semakin terbuka, gencatan senjata di Gaza kini dilihat semakin rapuh — sementara penduduk Gaza terus hidup dalam ketakutan, kemusnahan dan pengepungan yang belum berakhir.


Sumber: Al Jazeera, News Arab

Written by
Admin
Published on
May 4, 2026