Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menjelang bulan Ramadan, pihak berkuasa Israel memperhebat usaha mencari ahli jemaah Masjid al-Aqsa dan mengeluarkan keputusan pengusiran untuk tempoh yang berbeza-beza, atas pelbagai alasan. Namun, pakar serta mereka yang diusir menegaskan bahawa tujuan sebenar rejim penjajah adalah untuk mengosongkan kiblat pertama umat Islam daripada jemaah Muslim.

Dalam tempoh kurang 24 jam, pasukan rejim Israel telah menahan tiga penjaga Masjid al-Aqsa dan kakitangan Jabatan Wakaf Islam, iaitu Abdul Rahman al-Sharif, Mahdi al-Abbasi dan Hussam Sidr.

Hari ini, Hussam Sidr, Pegawai Pembangunan Masjid al-Aqsa memaklumkan bahawa beliau telah menerima keputusan pengusiran selama seminggu daripada pihak perisikan Israel, yang boleh dilanjutkan sehingga enam bulan.
Sementara itu, Mahdi al-Abbasi dan Abdul Rahman al-Sharif masih ditahan oleh pihak rejim selepas ditahan dari rumah masing-masing malam semalam.

Tindakan penahanan ini adalah sebahagian daripada siri penahanan rejim Israel yang meluas ke atas penjaga Masjid al-Aqsa dan pegawai Wakaf menjelang Ramadan. Ratusan keputusan pengusiran telah dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan, menyasarkan ulama, khatib, aktivis, murabitin dan tokoh sosial serta akademik, sehingga sukar untuk menjejaki jumlah sebenar mangsa.

Proses pengusiran bermula selepas panggilan untuk sesi siasatan di balai polis rejim Israel, kemudian keputusan pengusiran selama seminggu diserahkan. Selepas tamat tempoh seminggu dan setelah mendengar bantahan mereka, keputusan pengusiran diteruskan melalui aplikasi WhatsApp untuk tempoh sehingga enam bulan yang boleh dilanjutkan.Pihak Israel menggunakan pelbagai alasan bagi setiap kes, antaranya: aktivis di Baitul Maqdis, kepimpinan dalam gerakan HAMAS, atau dakwaan bahawa kehadiran individu itu di Al-Aqsa mengancam keselamatan ‘negara’ dan pengunjung masjid.

Walaupun tiada angka tepat bagi mereka yang dilarang masuk, sumber tempatan mengesahkan bahawa jumlahnya melebihi tahun-tahun sebelumnya. Halangan yang dikenakan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin dari Tebing Barat dan Gaza terus berlanjutan. Dalam masa sama, jumlah warga Baitul Maqdis yang dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa dilaporkan semakin meningkat.


Sumber: Shehab Agency


Written by
Admin
Published on
February 5, 2026