Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Serangan rejim Israel telah menghentam beberapa kawasan di seluruh semenanjung Gaza, termasuk sebuah sekolah yang menempatkan keluarga pelarian serta khemah-khemah penempatan sementara. Serangan tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang awam, termasuk lima kanak-kanak, meskipun gencatan senjata yang diumumkan di bawah pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump masih berkuat kuasa.


Sumber tempatan mengesahkan bahawa tentera rejim Israel menyerang Sekolah Abu Hussein yang menempatkan keluarga pelarian di kem pelarian Jabalia, utara Gaza. Dalam serangan tersebut, seorang rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa yang lain cedera.


Beberapa jam kemudian, tentera rejim Israel menyerang kawasan berhampiran kem-kem pelarian yang sesak di barat laut bandar Gaza.


Pada masa yang sama, satu serangan udara rejim Israel turut menyasarkan sebuah khemah penempatan sementara yang menempatkan sebuah keluarga pelarian di Khan Yunis, selatan Gaza sekali gus mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan beberapa individu lain.


Sumber perubatan melaporkan bahawa tiga orang cedera dalam satu lagi serangan rejim Israel yang menyasarkan Sekolah Khalifa di Beit Lahia, utara Gaza.


Menurut Pertahanan Awam Palestin di Gaza, rejim Israel telah membunuh sembilan orang dalam tempoh kurang daripada 24 jam menerusi serangan di seluruh wilayah yang musnah itu, termasuk lima kanak-kanak, dengan mangsa termuda berusia lima tahun.


Sebelum itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ditembak mati oleh tentera rejim Israel di utara Gaza walaupun tidak menimbulkan sebarang ancaman. Dalam insiden berasingan, tiga individu lain, termasuk dua kanak-kanak, turut terbunuh apabila serangan rejim Israel menyasarkan sebuah khemah di Khan Yunis.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
January 9, 2026