Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Pada Rabu semalam, dua warga Palestin dilaporkan maut selepas pasukan tentera rejim Israel melepaskan tembakan ke arah mangsa di kawasan timur Khan Yunis, selatan Gaza.


Menurut sumber perubatan, jenazah Maher Harb Samour dan Montaser Saad Samour telah dibawa ke Hospital Nasser selepas ditembak oleh tentera rejim di bandar Bani Suheila, timur Khan Yunis. Menurut saksi, tentera rejim bertindak melepaskan tembakan ke arah kedua-dua lelaki tersebut di kawasan yang sama.

Kejadian ini berlaku di tengah-tengah pelanggaran berterusan pihak rejim Zionis Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza sejak 10 Oktober 2025.

Sebelum kejadian berlaku, tembakan turut dilepaskan dari kenderaan tentera rejim yang ditempatkan di timur garisan kuning dilaporkan berlaku di kawasan timur Khan Yunis. Artileri rejim turut membedil kawasan kejiranan di timur bandar Gaza, manakala kapal tentera laut rejim melepaskan tembakan dan peluru ke arah pesisir Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan rejim Israel sejak gencatan senjata telah mengorbankan 630 Palestin dan mencederakan 1,698 yang lain.

Peningkatan keganasan ini berlaku ketika pihak rejim masih menutup semua laluan masuk ke Gaza sehingga notis lanjut. Hal ini menambahkan lagi kebimbangan bahawa wilayah tersebut akan menghadapi kekurangan makanan yang sedia kritikal.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, memberi amaran bahawa rejim Israel sekali lagi sengaja bertindak menahan bekalan makanan daripada sampai ke penduduk Gaza.

“Dunia sekali lagi sibuk dengan peperangan dan penderitaan yang direka. Israel sengaja membiarkan kelaparan di Gaza,” katanya. “Jangan tertipu; ‘Lembaga Keamanan (BOP)’ yang mengawal penderitaan ini bukan diplomasi—ini petanda suram bagi dunia jika kita tidak hentikan.”

Rejim Israel mengumumkan penutupan laluan di seluruh wilayah Palestin yang diduduki pada Sabtu lalu, termasuk yang beroperasi menyampaikan bekalan masuk ke Gaza. Keputusan ini secara efektif menghentikan aliran pergerakan barangan, bekalan kemanusiaan dan bahan bakar ke wilayah tersebut, yang hampir sepenuhnya bergantung pada import melalui laluan ini.

Langkah itu berlaku di tengah-tengah serangan AS-Israel terhadap Iran dan tindak balas Tehran.

Agensi kemanusiaan memberi amaran bahawa penutupan ini boleh mencetuskan kekurangan bekalan dengan cepat. Karuna Herrmann, Pengarah Pejabat Projek PBB di Baitul Maqdis yang diduduki berkata, baki bekalan bahan bakar Gaza mungkin hanya bertahan beberapa hari.

“Rasanya kita cuma ada dua hari lagi,” katanya, sambil menekankan bahawa bekalan makanan seperti tepung, sayur-sayuran dan barangan keperluan lain boleh habis sekiranya laluan tetap ditutup.

Kini, kira-kira 1.9 juta Palestin, daripada 2.4 juta penduduk Gaza terpaksa berpindah dan tinggal kebanyakannya di khemah penempatan sementara selepas rejim Israel memusnahkan sebahagian besar kediaman dalam wilayah itu sepanjang perang.

Sumber: The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
March 5, 2026