
Menurut Pejabat Media Tahanan Palestin, tentera haram Israel menahan seramai 40 rakyat Palestin, termasuk dua wanita dalam beberapa operasi serbuan awal pagi di seluruh Tebing Barat yang dijajah. Penahanan tertumpu di wilayah utara Qalqilya, tengah Ramallah, selatan al-Khalil dan Baitul Maqdis Timur.
Tentera penjajah itu turut melakukan penggeledahan dan pemeriksaan rumah di beberapa kawasan perumahan dan meneruskan dasar penahanan besar-besaran. Mereka menyasarkan bekas tahanan, wanita dan kanak-kanak khususnya di kawasan utara dan tengah Tebing Barat.
Menurut pejabat itu lagi, penahanan ini merupakan sebahagian daripada serbuan berskala besar dan siasatan lapangan yang berulang di kawasan kejiranan ketika operasi ketenteraan meningkat di seluruh Tebing Barat.
Sejak bermulanya perang rejim itu ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, tentera dan pendatang haram Israel telah meningkatkan serangan di Tebing Barat, termasuk melancarkan pembunuhan, penahanan, perobohan rumah dan harta benda, pemindahan paksa serta peluasan penempatan haram.
Sekurang-kurangnya 1,121 rakyat Palestin telah terbunuh, kira-kira 11,700 cedera, manakala sekitar 22,000 ditahan sejak itu.Rakyat Palestin memberi amaran bahawa pelanggaran ini bertujuan membuka jalan kepada pengilhakan Tebing Barat oleh kerajaan haram Israel, sekali gus menamatkan kemungkinan penubuhan sebuah negara Palestin seperti yang diiktiraf dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Komuniti antarabangsa dan PBB menganggap Tebing Barat, termasuk Baitul Maqdis Timur sebagai wilayah Palestin yang dijajah dan aktiviti penempatan haram Israel di kawasan tersebut dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.
Sumber: Anadolu Ajansi