.png)
Rejim Israel didakwa terus memperketat kawalannya di bandar al-Khalil (Hebron), Tebing Barat yang diduduki, dengan memasang 106 pintu besi serta mengambil beberapa langkah yang disifatkan bertujuan menguasai sepenuhnya Masjid Ibrahimi. Gabenor wilayah itu, Khaled Dodin berkata pihak berkuasa rejim Israel turut menutup 16 jalan utama dan pintu masuk ke wilayah itu menggunakan timbunan tanah, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk Palestin.
Dalam sidang media pada Selasa, Dodin mengecam kerja-kerja pembinaan yang dijalankan di bumbung Masjid Ibrahimi untuk hari kedua berturut-turut, sambil mendakwa ia merupakan sebahagian daripada usaha pihak rejim untuk mengubah status quo dan mewujudkan realiti baharu yang membolehkan mereka menguasai masjid berkenaan.
Menurut beliau, rejim Israel secara beransur-ansur mengambil alih pengurusan kemudahan di masjid itu, termasuk panel elektrik dan sistem bekalan air, selain menghalang laungan azan sejak 10 hari lalu. Beliau berkata pentadbiran al-Khalil bersama institusi tempatan telah menyediakan pelan bagi memperkukuh kehadiran rakyat Palestin di Masjid Ibrahimi dan kawasan sekitarnya, di samping menggerakkan usaha mendapatkan tekanan antarabangsa bagi menghentikan tindakan rejim Israel.
Terdahulu, pihak berkuasa rejim Israel menarik balik kuasa Majlis Perbandaran al-Khalil dalam mengurus serta menyelia kerja-kerja tertentu di Masjid Ibrahimi sebelum menyerahkannya kepada penempatan haram Yahudi, Kiryat Arba. Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan mengubah kedudukan sejarah serta status perundangan Masjid Ibrahimi.
Masjid Ibrahimi yang terletak di Bandar Lama al-Khalil berada dalam kawasan di bawah kawalan tentera rejim Israel. Kira-kira 400 pendatang haram Yahudi menetap di kawasan itu dengan perlindungan sekitar 1,500 anggota tentera rejim Israel.
Selepas pembunuhan beramai-ramai pada tahun 1994 yang mengorbankan 29 jemaah Palestin, masjid itu dibahagikan dengan 63 peratus kawasan diperuntukkan kepada penganut Yahudi dan 37 peratus kepada umat Islam. Walaupun umat Islam sebelum ini dibenarkan menggunakan keseluruhan masjid pada sambutan Aidilfitri dan Aidiladha, akses ke kawasan berkenaan semakin diperketat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dodin turut menegaskan bahawa tindakan terhadap Masjid Ibrahimi merupakan sebahagian daripada peningkatan pelanggaran yang dilakukan rejim Israel di Tebing Barat, termasuk pembunuhan, penahanan, pemindahan paksa penduduk, perobohan rumah, pemusnahan tanah serta peluasan penempatan haram Yahudi.
Beliau berkata lebih 20 penempatan haram baharu telah dibina di seluruh wilayah al-Khalil, manakala pihak berkuasa tempatan merekodkan sebanyak 763 serangan yang dilakukan oleh tentera rejim Israel dan pendatang haram Yahudi terhadap penduduk Palestin.
Menurut statistik rasmi Palestin, sejak 8 Oktober 2023, seramai 1,173 rakyat Palestin terbunuh, 12,666 lagi cedera, kira-kira 23,000 ditahan dan lebih 33,000 penduduk dipindahkan akibat peningkatan operasi ketenteraan rejim Israel serta serangan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki.
Sumber: Anadolu Ajansi