Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menteri Pertahanan wilayah haram Israel, Israel Katz pada Ahad menandatangani satu perintah yang mengharamkan lima platform media Palestin iaitu Al-Asima News, Mi’raj Network, Al-Quds Al-Bawsala Network, Maydan Al-Quds dan Plus Quds Network atas dakwaan hasutan. Kelima-lima platform itu turut diisytiharkan sebagai organisasi terlarang dengan tuduhan mempunyai kaitan dengan HAMAS. Bagaimanapun, tiada bukti dikemukakan kepada umum bagi menyokong dakwaan tersebut. 


Menurut Saluran 12 Israel, platform-platform tersebut didakwa telah melakukan hasutan dengan memberi tumpuan kepada perkembangan yang berlaku di Baitul Maqdis Timur dan Masjid al-Aqsa khususnya. Wartawan Palestin pula menyifatkan tindakan ini sebagai skrip lama: tuduhan keselamatan tanpa bukti telus dan dikenakan secara bersasar terhadap pengamal media Palestin. Corak yang sama berulang kali selama bertahun-tahun. 


Susulan arahan tersebut, Al-Asima News memaklumkan bahawa ia telah menggantung semua aktiviti medianya sehingga diberitahu kelak, manakala empat platform lain belum mengeluarkan sebarang kenyataan segera. Saluran itu turut menyatakan bahawa ia terpaksa menghentikan operasi dan meluahkan rasa bangga atas pencapaiannya sepanjang beberapa tahun lalu, sambil menegaskan bahawa slogan utamanya sentiasa menjadikan Baitul Maqdis sebagai fokus dan kompas perjuangan Palestin.


“Larangan Israel tidak akan membungkam kebenaran. Menafikan kamera tidak bermakna akan ‘membisukan’ Baitul Maqdis. Naratif yang ditulis dengan darah dan ketabahan lebih kuat daripada sebarang larangan,” tambahnya.


Baitul Maqdis bukanlah bandar terbuka, yang bebas didiami bagi rakyat Palestin. Tebing Barat yang diduduki secara umumnya telah terpecah-pecah oleh sekatan jalan, pintu kawalan dan halangan tentera. Bagi kebanyakan rakyat Palestin, memasuki Baitul Maqdis Timur hampir mustahil dan tertakluk kepada permit rejim Israel yang lazimnya ditolak. Wartawan antarabangsa juga berdepan sekatan yang semakin ketat.


Pengharaman platform media yang membuat liputan kekejaman rejim Israel dilihat lebih agresif susulan sekatan Israel terhadap Al Jazeera, yang diharamkan operasinya di dalam wilayah haram Israel. Secara keseluruhan, langkah-langkah ini dilihat sebagai kempen berterusan pihak rejim untuk mengehadkan sesiapa sahaja yang dibenarkan melaporkan mengenai Israel, Palestin dan khususnya Baitul Maqdis.


Sejak bermulanya perang di Gaza pada 7 Oktober 2023, pihak berkuasa rejim Israel telah mengenakan sekatan pergerakan yang ketat ke atas penduduk Tebing Barat menuju ke Baitul Maqdis Timur.



Sumber: Anadolu Ajansi, TRT World

Written by
Admin
Published on
February 24, 2026