
Rejim Israel dilaporkan sedang mempertimbangkan kemungkinan pengunduran berperingkat tenteranya dari beberapa kawasan di selatan Lubnan susulan jangkaan tuntutan daripada Amerika Syarikat (AS), menurut laporan penyiar awam Israel, KAN, pada Isnin.
Menurut KAN, satu pusingan baharu rundingan antara rejim Israel dan Lubnan dijadualkan bermula pada Selasa bagi membincangkan persiapan awal untuk kemungkinan pengunduran tentera rejim Israel sebagai sebahagian daripada program perintis yang melibatkan tentera Lubnan.Rundingan tersebut dijangka berlangsung dengan pengantaraan AS dan disertai oleh duta Israel dan Lubnan serta tiga pegawai brigedier jeneral Israel.
KAN turut melaporkan bahawa tentera rejim Israel telah mula mengubah kedudukan dan menyusun semula pasukan mereka di lapangan sepanjang 24 jam lalu sementara menunggu keputusan daripada kepimpinan politik negara itu.
Memetik sumber Israel yang tidak dinamakan, KAN melaporkan bahawa rejim Israel mengambil kira kemungkinan tentera negara itu diarahkan oleh AS untuk berundur secara berperingkat dari beberapa kawasan yang digelar sebagai zon keselamatan, sekali gus membolehkan tentera Lubnan kembali ke kawasan tersebut sebagai langkah membina keyakinan antara kedua-dua pihak.
Terdahulu, seorang pegawai kanan rejim Israel berkata bahawa Washington telah memaklumkan kepada Tel Aviv bahawa kebebasan yang sebelum ini dinikmati rejim Israel untuk menjalankan operasi ketenteraan di Lubnan tanpa sekatan kini telah berakhir.
Akhbar Israel, Maariv pula melaporkan bahawa perbezaan pendirian antara AS dan rejim Israel berhubung isu Lubnan semakin ketara. Washington dilaporkan melihat selatan Lubnan dalam kerangka geopolitik yang lebih luas, termasuk kaitannya dengan Selat Hormuz, harga tenaga global, isu nuklear Iran serta usaha pentadbiran Presiden AS, Donald Trump untuk mencapai kejayaan diplomatik di rantau Asia Barat.
Perkembangan itu berlaku selepas Iran dan AS mengadakan rundingan selama 18 jam di Switzerland dengan pengantaraan Pakistan dan Qatar bagi membincangkan beberapa peruntukan yang masih belum dimuktamadkan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad, termasuk penghentian permusuhan di semua medan konflik, antaranya di Lubnan.
Menurut pihak berkuasa Lubnan, serangan ketenteraan rejim Israel sejak 2 Mac lalu telah mengorbankan lebih 4,000 orang, mencederakan lebih 12,000 individu dan menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.Rejim Israel juga dilaporkan masih menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, termasuk wilayah yang telah dikuasainya selama beberapa dekad serta kawasan yang dirampas ketika perang 2023–2024.
Sumber: Anadolu Ajansi