Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ahad memaklumkan bahawa negara haram Israel akan menentukan sendiri negara yang dibenarkan menjadi sebahagian daripada pasukan antarabangsa yang dirancang untuk Gaza bagi membantu mengekalkan gencatan senjata di bawah pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Namun, masih belum jelas sama ada negara-negara Arab dan negara lain bersedia menghantar pasukan masing-masing.

Walaupun pentadbiran Trump menolak untuk menghantar askar AS ke semenanjung Gaza, Washington dilaporkan telah mengadakan rundingan dengan Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Qatar, Turkiye dan Azerbaijan bagi menyertai pasukan multinasional tersebut.

Minggu lalu, Netanyahu memberi bayangan bahawa dia menentang sebarang penglibatan pasukan keselamatan Turkiye di Gaza. Hubungan antara Turkiye dan rejim Zionis yang dahulunya mesra telah merosot teruk sejak perang Gaza tercetus, apabila Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan lantang mengecam serangan udara dan darat Israel yang memusnahkan wilayah kecil itu.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio ketika lawatan ke Israel pada Jumaat lalu bagi memperkukuh gencatan senjata, memaklumkan bahawa pasukan antarabangsa yang dirancang perlu terdiri daripada negara-negara yang mendapat persetujuan Israel. Namun, beliau tidak mengulas mengenai kemungkinan penyertaan Turkiye.

Sumber: Reuters

Written by
Admin
Published on
October 27, 2025