
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata rejim haram Israel dan Lubnan telah bersetuju untuk memulakan gencatan senjata selama 10 hari bermula jam 5 petang EST (2100 GMT) pada Khamis, susulan rundingan terbaharu di Washington.
Kenyataan Trump yang dimuat naik di platform media sosialnya, Truth Social tidak menyatakan hari yang tepat bila gencatan senjata akan bermula, namun seorang pegawai AS berkata ia akan bermula pada Khamis.
“Saya baru sahaja mengadakan perbincangan yang sangat baik dengan Presiden Lubnan yang dihormati, Joseph Aoun dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu,” kata Trump dalam satu kenyataan. Tambahnya, kedua-dua pemimpin itu bersetuju secara rasmi memulakan gencatan senjata dalam usaha mencapai keamanan antara negara mereka.
Pengumuman ini dibuat selepas rundingan melalui perantaraan AS antara delegasi Lubnan dan kerajaan haram Israel yang berlangsung pada Selasa di Jabatan Negara di Washington, DC. Kumpulan Hizbullah dari Lubnan tidak diwakili dalam pertemuan tersebut dan telah menolak langkah itu.Pakistan sebelum ini menyatakan bahawa keamanan di Lubnan adalah penting bagi rundingan yang sedang dilaksanakannya melalui perantaraan untuk menamatkan perang antara AS dan Iran.
Ahli Parlimen kanan Hizbullah, Hassan Fadlallah memberitahu Reuters bahawa kumpulan itu telah dimaklumkan oleh duta Iran ke Lubnan bahawa gencatan senjata selama seminggu boleh bermula pada petang Khamis.
Ketika ditanya sama ada Hizbullah akan komited kepada gencatan senjata itu, Fadlallah berkata semuanya bergantung kepada komitmen rejim haram Israel untuk menghentikan semua bentuk permusuhan dan beliau turut mengiktiraf usaha diplomatik Iran dalam menjayakan kemungkinan gencatan senjata tersebut.
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata itu dan menyifatkannya sebagai tuntutan utama Lubnan yang kami perjuangkan sejak hari pertama perang dan objektif utama kami dalam mesyuarat di Washington pada Selasa.
Salam turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Lubnan, merakamkan takziah dan solidariti kepada mangsa, serta menghargai usaha antarabangsa dan negara Arab dalam menjayakan gencatan senjata.
Sumber: Anadolu Ajansi, BERNAMA