Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim Israel dilaporkan telah memperluas kawalan penguasaannya ke atas semenanjung Gaza kepada hampir 60 peratus daripada wilayah itu walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.


Menurut laporan Army Radio Israel pada Ahad lepas, pegawai kanan tentera rejim mendesak agar operasi ketenteraan diteruskan semula dengan alasan ia merupakan masa paling sesuai untuk menewaskan HAMAS. Laporan itu turut menyatakan pelan operasi bagi serangan baharu telah disiapkan sepenuhnya, namun keputusan akhir masih menunggu kelulusan kepimpinan politik rejim Israel.


Dalam perkembangan berkaitan, tentera rejim dilaporkan telah mengurangkan kehadiran tenteranya di selatan Lubnan, selain menempatkan semula beberapa briged ke Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.


Sementara itu, tentera rejim Israel didakwa memperluas kawasan yang dikenali sebagai garisan kuning bagi menguasai lebih banyak wilayah Gaza, sekali gus memaksa penduduk bertumpu di sekitar 40 peratus kawasan, manakala baki 60 peratus terus berada di bawah kawalan ketenteraan rejim di bahagian selatan, utara dan timur.


Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) menjadi perantara kepada perjanjian gencatan senjata di Gaza pada Oktober lalu, yang bertujuan menghentikan konflik serta membolehkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut.


Bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan Palestin, rejim Israel didakwa berulang kali melanggar perjanjian berkenaan, dengan sekurang-kurangnya 832 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan pengeboman berlaku hampir setiap hari.


Sejak Oktober 2023, lebih 72,000 rakyat Palestin dilaporkan terkorban, manakala ribuan lagi masih hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.


Di bawah perjanjian yang sama, rejim Israel sepatutnya melonggarkan sekatan dan membenarkan sehingga 600 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari membawa makanan, bahan api, bekalan perubatan serta barangan keperluan lain. Namun, pihak berkuasa Gaza memaklumkan jumlah sebenar hanya sedikit melebihi 200 trak sehari.


Selain itu, tentera rejim Israel dilaporkan telah menguasai hampir separuh Gaza ketika gencatan senjata bermula dengan mewujudkan sempadan sepihak yang dikenali sebagai garisan kuning, manakala fasa seterusnya perjanjian itu merancang pengunduran berperingkat dari seluruh wilayah tersebut.


Namun, menurut laporan radio tersebut, kawasan garisan kuning terus diperluas dan kini meliputi kira-kira 59 peratus semenanjung Gaza.


Sumber: Middle East Eyes

Written by
Admin
Published on
May 6, 2026