
Menurut media Israel Ynet News, Israel mengakui tahap kesiapsiagaan medianya masih lemah walaupun persiapan telah dibuat selama beberapa bulan. Pegawai tentera Israel bimbang wartawan antarabangsa akan membongkar realiti kemusnahan di Gaza serta mencetuskan kemarahan global berhubung laporan jenayah perang dan genosid.
Pada 23 Oktober, Mahkamah Agung Israel memberikan kerajaan 30 hari tambahan untuk menjawab petisyen yang difailkan pada tahun 2024 oleh Persatuan Akhbar Asing (FPA). Petisyen itu menuntut akses untuk wartawan antarabangsa masuk ke Gaza seterusnya mencabar larangan yang dikenakan oleh Israel sejak 7 Oktober 2023.
Dalam prosiding mahkamah, Peguam Negara rejim haram Israel mengakui bahawa situasi di Gaza telah berubah. Beliau memaklumkan bahawa Israel merancang untuk menyambung semula lawatan media yang dikendalikan tentera di kawasan yang digelar garisan kuning, iaitu zon yang ditinggalkan tenteranya selepas gencatan senjata dua minggu lalu.
Unit Jurucakap Tentera Israel baru-baru ini mengadakan mesyuarat strategik bersama Kementerian Luar Negeri dan Direktorat Nasional untuk Diplomasi Awam bagi merancang kemasukan wartawan.
“Kami menjangka akan berlaku serangan permusuhan di media sosial dan saluran media,” kata seorang pegawai Kementerian Luar Negeri Israel. Seorang lagi pegawai kanan mengakui cabaran yang dihadapi amat besar berikutan tahap kemusnahan di Gaza. Seorang pegawai lain pula memberi amaran bahawa laporan media asing mengenai kekejaman Israel berpotensi mencetuskan gelombang protes global. “Apabila kami membawa wartawan dalam lawatan, kami mesti menunjukkan kepada mereka apa yang berlaku,” katanya.
Committee to Protect Journalists (CPJ) mengecam rancangan itu. CPJ menyatakan bahawa lawatan media yang dikawal tentera Israel adalah alat propaganda, dengan wartawan hanya dibenarkan lawatan singkat ke tapak-tapak yang telah dipilih terlebih dahulu. CPJ menegaskan sekatan sebegitu melanggar piawaian kebebasan media antarabangsa.
Euro-Med Human Rights Monitor menegaskan bahawa Israel dengan sengaja menyekat wartawan dan penyiasat bagi menyembunyikan bukti genosid dan jenayah perang di Gaza.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, pasukan Israel telah membunuh 254 wartawan Palestin sejak Oktober 2023 dalam usaha menutup naratif Palestin.
Sumber: Quds News Network