Pegawai kanan Israel memberi amaran bahawa rejim Israel akan menghancurkan Gaza sehingga menjadi ‘debu’ sekiranya rundingan gencatan senjata dan pertukaran tahanan terus menemui jalan buntu.
Menurut saluran berita Amerika Syarikat (AS), Axios, pegawai itu berkata bahawa Bandar Gaza dan kawasan kem pelarian di tengah wilayah itu akan menerima nasib yang sama seperti Rafah jika rundingan itu gagal, “Semuanya akan menjadi debu.”
“Itu bukan pilihan yang kami inginkan, tetapi jika tiada sebarang kemajuan ke arah perjanjian pertukaran tahanan, kami tidak mempunyai pilihan lain,” kata pegawai itu lagi.
Pada hari Selasa, Presiden AS, Donald Trump mendakwa bahawa Israel telah bersetuju dengan semua syarat yang diperlukan untuk melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari. Dalam kenyataan yang disiarkan di Truth Social, beliau menggesa HAMAS menerima perjanjian itu dan memberi amaran keras: “Ia tidak akan menjadi lebih baik — IA HANYA AKAN MENJADI LEBIH BURUK.”
Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Israel atau HAMAS setakat ini. Trump memaklumkan bahawa cadangan terakhir itu akan disampaikan kepada HAMAS melalui perantara dari Qatar dan Mesir.
HAMAS menyatakan kesediaan membebaskan baki tahanan di Gaza sebagai pertukaran untuk penamatan sepenuhnya jenayah genosid dan pengunduran Israel dari wilayah itu. Namun Israel menolak dengan syarat bahawa perang hanya akan tamat jika HAMAS dilucutkan senjata dan pemimpinnya bersetuju untuk dibuang negeri.
Serangan berterusan Israel telah meragut lebih 56,500 nyawa rakyat Palestin yang majoritinya ialah orang awam serta memaksa hampir keseluruhan populasi seramai 2.3 juta orang meninggalkan kediaman mereka. Sebahagian besar wilayah Gaza kini musnah dan bertukar menjadi runtuhan.
Sumber: Quds News Network