Israel pada Ahad mengumumkan bahawa ia akan membenarkan kemasukan bekalan makanan ke semenanjung Gaza dalam kuantiti yang sangat terhad. Langkah itu diambil dengan alasan bagi mengelakkan kebuluran di wilayah tersebut.
Menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, "Israel akan membenarkan kemasukan sejumlah makanan asas kepada penduduk bagi mengelakkan tercetusnya krisis kelaparan di Gaza." Kenyataan itu turut menegaskan bahawa sebarang kebuluran berpotensi menjejaskan kesinambungan Operasi Gideon’s Chariot, iaitu fasa terbaru serangan darat Israel di utara dan selatan Gaza.
Keputusan ini diambil atas cadangan tentera Israel dan dikatakan penting dari sudut operasi bagi membolehkan serangan lebih intensif dilancarkan terhadap HAMAS.
Media penyiaran awam Israel, Kan, memetik kenyataan pegawai tanpa nama yang menyatakan bahawa langkah ini bersifat sementara. Ia dijangka berlangsung sekitar seminggu, sementara menunggu pusat pengedaran bantuan ditubuhkan. Pusat-pusat ini kebanyakannya berada di selatan Gaza dan dikendalikan oleh kontraktor dari Amerika Syarikat di bawah penyeliaan tentera Israel.
Israel dan AS kini mempromosikan dua pelan pengedaran bantuan. Dalam masa yang sama, Israel mengakui bahawa matlamat sebenar mereka adalah untuk mengosongkan penduduk di utara Gaza dengan menjadikan bandar Rafah di selatan sebagai pusat utama bantuan kemanusiaan, lalu menarik penduduk awam berpindah ke sana.
Sumber: Anadolu Ajansi