Pihak berkuasa Israel telah membekukan akaun bank Patriarkat Ortodoks di Baitul Maqdis yang dijajah dan mengenakan cukai berat ke atas hartanahnya. Tindakan itu mencetuskan kecaman keras serta amaran tentang akibat berbahaya.
Jawatankuasa Presiden Tertinggi bagi Urusan Gereja di Palestin berkata langkah tersebut mengancam keupayaan gereja untuk menyediakan perkhidmatan rohani, sosial dan kemanusiaan. Ia menegaskan bahawa tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa, perjanjian yang ditandatangani dan status quo bersejarah di ibu kota Palestin.
Jawatankuasa itu juga mendedahkan bahawa pendatang haram Israel telah memperluas kawasan berhampiran tanah Gereja Ortodoks sekitar Biara St. Gerasimos berhampiran Ariha (Jericho). Ia menyatakan bahawa perkara ini mencerminkan dasar yang lebih luas untuk mengubah identiti Baitul Maqdis dan menghapuskan watak agama serta budaya kota itu.
“Ini adalah serangan yang belum pernah berlaku terhadap gereja-gereja di Tanah Suci, ia adalah usaha sistematik untuk melemahkan kehadiran Kristian di Palestin dan mengosongkannya daripada institusi keagamaan,” amaran jawatankuasa tersebut.
Jawatankuasa itu menyeru gereja-gereja global dan institusi Kristian supaya mengambil tindakan segera dari sudut politik, undang-undang dan media bagi menghentikan pelanggaran ini serta melindungi kebebasan gereja dalam berkhidmat kepada masyarakatnya.
Jurucakap Gereja Ortodoks memberitahu Ma’an News bahawa keputusan itu akan melumpuhkan peranan dan misi gereja. Beliau berkata gereja menolak dan mengecam langkah tersebut yang disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap status quo bersejarah di Baitul Maqdis serta undang-undang antarabangsa. Beliau menambah bahawa para pemimpin gereja di Baitul Maqdis kini berada dalam sidang berterusan untuk memutuskan langkah tindak balas.
Kementerian Luar Negeri Palestin mengecam keputusan Israel itu pada hari Sabtu. Ia berkata Israel berbuat demikian untuk menghapuskan kehadiran Kristian di Palestin dan ia sebahagian daripada perang terbuka terhadap tapak suci dan institusi keagamaan.
Baik Kementerian Luar Negeri mahupun Pentadbiran Gabenor menyeru masyarakat antarabangsa, serta para pemimpin Kristian dan Muslim di seluruh dunia supaya mengambil tindakan segera untuk melindungi kehadiran Kristian di Baitul Maqdis. Mereka menegaskan Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas akibat dasar-dasarnya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Israel meningkatkan tekanan terhadap gereja dengan menuntut pembayaran cukai tertunggak. Pada tahun 2018, pihak berkuasa telah membekukan harta dan akaun bank Patriarkat Ortodoks Yunani bernilai lebih 30 juta shekel (sekitar AS$8.5 juta).
Sumber: Quds News Network