Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Pihak berkuasa rejim Israel terus memperalatkan kebuluran di Gaza dengan mengawal kemasukan barang makanan serta bantuan ke wilayah itu dengan membanjiri pasarnya dengan makanan tidak berkhasiat dan tinggi kalori. Sementara itu, bekalan sayur-sayuran segar, buah-buahan, daging, tenusu, telur, bijirin dan makanan berkhasiat lain masih berada pada tahap minimum.


Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, Dr. Ismail al-Thawabta memamklumkan kepada Quds News Network (QNN) bahawa barangan yang dibenarkan masuk ke semenanjung Gaza kebanyakannya adalah makanan berproses dan tinggi kalori dengan nilai nutrisi yang rendah. Bahan makanan asas seperti sayur-sayuran segar, buah-buahan, telur, tenusu, daging, bijirin dan kekacang masih disekat.


“Makanan seperti ini tidak menyumbang kepada penambahbaikan keselamatan makanan, malah menjejaskan kesihatan awam. Sebaliknya, ia memburukkan lagi krisis kebuluran dan kekurangan zat yang sudah pun berada pada tahap kritikal,” kata Dr. al-Thawabta. Beliau menegaskan bahawa kanak-kanak, wanita dan warga tua merupakan golongan yang paling terjejas.


Beliau menggambarkan dasar itu sebagai satu bentuk kebuluran terancang dengan menggunakan makanan sebagai alat tekanan politik dan kemanusiaan. Ucapnya lagi, tindakan ini jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva, yang melarang penafian makanan dan ubat-ubatan penting kepada orang awam.


Antara 10 hingga 31 Oktober 2025, hanya 3,203 lori bantuan dibenarkan masuk ke Gaza, termasuk 2,564 lori bantuan dan 639 lori komersial. Jumlah ini jauh lebih rendah daripada 600 lori sehari yang telah dipersetujui dalam peraturan rasmi, iaitu hanya 24% daripada kemasukan seperti yang dijangkakan. 


Dr. al-Thawabta turut menegaskan bahawa barang bantuan yang dibawa di atas lori jauh lebih penting berbanding bilangan yang masuk. Kerana kebanyakan lori membawa barangan tidak penting seperti kopi, minuman ringan, coklat dan snek kering. Barang bantuan penting seperti ubat-ubatan, bahan api, bahan binaan dan bekalan kesihatan masih dikenakan sekatan. Hanya 115 lori bahan api dibenarkan masuk dalam tempoh tersebut, yang mana hanya 10% daripada keperluan bersamaan 1,100 lori. Hanya empat lori membawa bekalan perubatan.


“Rejim Israel hanya membenarkan kemasukan barangan yang tidak menyumbang kepada kelangsungan hidup, selain menyekat kemasukan barangan keperluan asas. Meskipun pasaran tampak seolah-olah berfungsi seperti biasa, hakikatnya sekatan yang berterusan itu terus menyesakkan kehidupan orang awam dan memperdalam krisis kemanusiaan.” kata Dr. al-Thawabta.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
November 6, 2025