Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Amerika Syarikat (AS) dan Israel dilaporkan sedang berusaha menggagalkan inisiatif Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Eropah untuk meluluskan resolusi Majlis Keselamatan (UNSC) yang bertujuan menghentikan pengagihan bantuan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) kerana kontroversi sejak kebelakangan ini.


Menurut laporan media Israel, Ynet, melalui mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat lalu menyaksikan PBB mengarahkan semua agensi dan organisasinya agar tidak bekerjasama dengan GHF. Dalam mesyuarat itu, wakil Rusia dilaporkan membacakan satu laporan yang mendakwa GHF terlibat dalam penyeludupan dadah ke Gaza.


Menurut laporan itu lagi, AS dan Israel membantah inisiatif ini. Perbincangan semula isu pengagihan bantuan dijadualkan pada Isnin melalui satu lagi sesi bersama UNSC. AS dan Israel bersiap sedia untuk menyekat resolusi yang menyeru yayasan itu dibubarkan.


Pada 2 Mac, Israel mengumumkan penutupan lintasan utama Gaza menyebabkan bekalan makanan, bantuan perubatan dan kemanusiaan terputus sehingga memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Palestin. Menurut pertubuhan hak asasi manusia, tindakan tersebut dilihat sebagai usaha Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang terhadap rakyat Palestin.


Kebanyakan organisasi kemanusiaan, termasuk PBB telah menjauhkan diri daripada GHF dengan dakwaan bahawa pertubuhan itu melanggar prinsip kemanusiaan. GHF telah mengehadkan bantuan hanya ke selatan dan tengah Gaza, memaksa rakyat Palestin berjalan jauh untuk mengambil bantuan. Pada masa yang sama, GHF hanya menyediakan bantuan dalam jumlah terhad.


Menurut Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin  (UNRWA), Philippe Lazzarini dalam satu hantaran di platform X: 


Nilai nyawa rakyat Palestin dianggap tiada nilai. Sudah menjadi rutin mereka untuk menembak & membunuh orang yang terdesak & kelaparan ketika mereka cuba mendapatkan sedikit makanan daripada syarikat yang terdiri daripada tentera upahan.”


Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 520 penerima bantuan telah dibunuh oleh tentera Israel berhampiran atau di lokasi agihan bantuan GHF sejak ia mula beroperasi di Gaza pada 27 Mei. Selain itu, 39 orang lagi dilaporkan hilang dalam perjalanan ke lokasi GHF untuk mendapatkan makanan.



Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 1, 2025