Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sekali lagi berdepan ancaman di Laut Mediterranean apabila beberapa siri letupan kuat, gangguan komunikasi, serta serangan bahan kimia dilaporkan berlaku berdekatan dengan armada kapal bantuan yang sedang menuju ke Gaza.

Menurut laporan awal wartawan Al Jazeera di atas salah sebuah kapal flotila, beberapa letupan kuat kedengaran berhampiran armada sementara dron tidak dikenali dikesan terbang rendah di ruang udara. Pada masa sama, radio marin VHF yang digunakan kapal-kapal flotila turut diganggu, dipercayai bertujuan menyekat komunikasi.

Sumud Nusantara Command Center mengesahkan bahawa sejak awal pagi, 15 buah dron rejim berlegar rendah setiap 10 minit di ruang udara flotila, disusuli lapan letupan udara yang berlaku berhampiran kapal.

Gangguan ini merupakan insiden keempat sejak flotila tersebut berlayar di Laut Mediterranean. Armada flotilla tersebut kini berada di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza, dalam zon kelabu dan masih belum memasuki zon kuning atau merah.

Seramai 34 delegasi Malaysia yang turut serta dalam misi tersebut dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan bersiap siaga penuh.

Pihak GSF pula melalui satu kenyataan rasmi di media sosial menyifatkan siri letupan, kehadiran dron dan gangguan komunikasi ini sebagai sebahagian daripada ancaman  psikologi Israel untuk menakut-nakutkan aktivis.

“Tindakan ini adalah usaha jijik Israel dan sekutunya untuk meneruskan kebuluran serta genosid di Gaza. Namun, semangat kami tidak akan goyah. Taktik sebegini tidak akan menghalang kami daripada menyampaikan bantuan kemanusiaan dan memecahkan kepungan haram,”

kata kenyataan itu.

Wartawan Al Jazeera yang berada di atas kapal flotila melaporkan sehingga kini sembilan kapal telah disasarkan dalam siri serangan tersebut. Sekurang-kurangnya enam kapal terkena serangan bom kilat (flashbang), namun tiada kecederaan dilaporkan.

Kapal Zefiro mengalami kerosakan pada tali rigging, manakala kapal Yulara disimbah dengan bahan kimia yang tidak dikenal pasti. Pasukan teknikal kini sedang menilai tahap kerosakan kedua-dua kapal tersebut.

Aktivis Brazil, Thiago Avila, yang turut berlayar bersama flotila, mengesahkan bahawa letupan kesepuluh berlaku berhampiran armada.

“Mereka menyasarkan kapal layar kecil dalam misi kami, cuba merosakkan layar mereka dengan peranti yang berpotensi mencederakan aktivis serta merosakkan kapal. Ini adalah misi kemanusiaan yang dilindungi undang-undang antarabangsa, namun ia telah diserang. Dunia perlu mengetahui perkara ini,”

katanya dalam satu rakaman video dari atas kapal.

Avila menegaskan bahawa ancaman tersebut tidak akan melemahkan semangat aktivis.

“Kami akan terus mara kerana kami tahu ini adalah perkara yang benar untuk dilakukan,” tambahnya.

Penganjur menegaskan GSF kekal sebagai misi kemanusiaan tanpa keganasan (non-violent) untuk menghantar makanan, ubat-ubatan dan bantuan kecemasan ke Gaza, di samping mendesak agar peperangan serta kebuluran segera dihentikan.

Sumber: Global Sumud Flotilla, Sumud Nusantara, Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
September 24, 2025