.jpg)
Iraq dan Syria mengumumkan penutupan sementara ruang udara masing-masing pada Ahad semalam susulan ketegangan yang kembali memuncak antara Iran dan Israel. Menurut Agensi Berita Iraq (INA), pihak berkuasa Iraq memutuskan untuk menutup ruang udara negara itu selama 72 jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas wilayah haram Israel.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Syria mengumumkan penutupan sementara koridor udara di bahagian selatan negara itu serta penggantungan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik berikutan perkembangan keselamatan serantau yang semakin tegang.
Menurut kenyataan rasmi, koridor udara di selatan Syria akan ditutup selama 12 jam, bermula jam 11 malam Ahad hingga 11 pagi Isnin waktu tempatan. Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh pihak berkuasa penerbangan dan pengangkutan udara negara berkenaan.
Penutupan tersebut turut melibatkan penggantungan sementara semua operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik sepanjang tempoh berkenaan.
Ketegangan serantau kembali meningkat selepas Iran melancarkan beberapa siri peluru berpandu ke arah utara wilayah haram Israel pada Ahad malam, yang dilaporkan sebagai serangan pertama seumpamanya sejak gencatan senjata yang dicapai pada April lalu. Menurut Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), serangan akan diteruskan sekiranya rejim Israel bertindak balas terhadap serangan Iran atau gagal menghentikan operasi ketenteraannya ke atas Lubnan.
Media rejim Israel pula melaporkan beberapa gelombang peluru berpandu dilancarkan ke arah wilayah itu, termasuk satu salvo yang melibatkan empat peluru berpandu. Kerosakan dilaporkan berlaku di bandar Tiberias, manakala tentera rejim Israel mendakwa sebahagian besar peluru berpandu berjaya dipintas.
Susulan serangan tersebut, pihak berkuasa rejim Israel turut menggantung sementara operasi di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv.
Peningkatan ketegangan itu berlaku beberapa jam selepas serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan 11 yang lain, sekali gus menambah kebimbangan terhadap kemungkinan konflik yang lebih luas di rantau Asia Barat.
Sumber: Anadolu Ajansi