.png)
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada Isnin semalam mengancam bahawa mana-mana kapal yang cuba melalui Selat Hormuz akan diserang dan dibom oleh pasukan Iran, sekali gus memberi amaran bahawa mereka akan berusaha untuk menyekat aktiviti eksport minyak dari rantau tersebut.
Penasihat IRGC, Brig. Jeneral Sardar Ebrahim Jabbari ketika muncul dalam siaran rasmi televisyen Iran, mengisytiharkan laluan laut yang memiliki kepentingan strategik itu ditutup kepada semua lalu lintas perkapalan dan memaklumkan bahawa Tentera Laut IRGC serta Tentera Iran akan membakar mana-mana kapal-kapal yang cuba melalui selat itu.
Jika tindakan ini dilaksanakan, ia akan menghentikan pengangkutan komersial melalui laluan sempit yang membawa kira-kira satu per lima atau 20% bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Isnin bahawa operasi terhadap Iran berjalan lebih pantas daripada yang mereka jangkakan, sambil menambah “Kami menjangkakan empat hingga lima minggu, tetapi kami ada keupayaan untuk meneruskannya lebih lama daripada itu.”
Menurut pihak berkuasa tempatan, jumlah korban di Iran meningkat melebihi 550 orang susulan lebih daripada dua hari serangan udara dan misil oleh AS dan Israel. Markas Pusat Tentera AS (US Central Command) pada Isnin melaporkan enam anggota perkhidmatan Amerika terkorban dalam serangan balas awal Iran.
Dalam konteks yang sama, pada Isnin semalam, tiga pesawat F-15E Strike Eagle milik AS dilaporkan terhempas di atas Kuwait akibat insiden tembakan sesama sendiri, menurut Pentagon. Walau bagaimanapun, semua enam kru udara berjaya keluar dan diselamatkan.
Ancaman terhadap laluan yang sama sebelum ini pernah melonjakkan harga tenaga global, termasuk semasa perang Israel-Iran pada bulan Jun lalu.
Secara rasmi, selat ini belum ditutup, tetapi trafik tanker telah menurun dengan ketara disebabkan sistem navigasi satelit terganggu, menurut firma data dan analitik Kpler.
Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UK) melaporkan serangan terhadap beberapa kapal di kawasan ini di kedua-dua sisi selat dan memberi amaran tentang gangguan elektronik yang tinggi pada sistem yang menunjukkan lokasi kapal.
Menurut laporan Oman, sebuah bot dron pembawa bom difahamkan telah menyerang sebuah kapal tangki minyak yang berdaftar di Kepulauan Marshall di Teluk Oman, yang menghala ke selat dari arah timur dan seorang anak kapal terbunuh.
Sumber: AL-MONITOR, TRT World