Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Media Iran pada Khamis menerbitkan senarai beberapa jambatan utama di seluruh rantau, yang dilihat sebagai isyarat kemungkinan serangan balas susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas sebuah jambatan penting di bandar utara Karaj, lapor Anadolu Ajansi. 


Agensi berita separa rasmi, Fars menyatakan bahawa beberapa jambatan utama di negara-negara serantau berkemungkinan menjadi sasaran selepas dua serangan menyasarkan jambatan B1 pada awal pagi Khamis. 


Senarai tersebut termasuk Jambatan Laut Sheikh Jaber al-Ahmad al-Sabah di Kuwait, Tambak Raja Fahd yang menghubungkan Arab Saudi ke Bahrain, Jambatan Sheikh Zayed dan Jambatan Sheikh Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Jambatan Raja Hussein, Jambatan Damia dan Jambatan Abdoun di Jordan. 


AS dan rejim haram Israel telah melancarkan dua serangan awal Khamis ke atas Jambatan B1, iaitu laluan pengangkutan penting di Karaj, wilayah Alborz yang mengorbankan dua orang dan menyebabkan kemusnahan. 


Menurut laporan media, Jambatan B1 merupakan salah satu projek kejuruteraan moden penting Iran, kira-kira 1,000 meter panjang dan direka untuk mengurangkan kesesakan trafik antara Tehran dan Karaj serta memudahkan pergerakan ke wilayah utara negara itu.


Ketegangan serantau telah meningkat sejak AS dan rejim haram Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari hingga mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.


Tehran telah bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan negara haram Israel, Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.


Sumber: Middle East Monitor, Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
April 3, 2026