.png)
Seorang rakyat Palestin dilaporkan terbunuh selepas Tentera Penjajah Israel (IOF) menyerbu kediamannya di perkampungan Sarta, barat Salfit di Tebing Barat yang diduduki.
Mangsa, Mustafa Taha Mustafa al-Khatib, 32, dilaporkan ditembak mati oleh IOF ketika serbuan dijalankan, menurut sumber tempatan yang dipetik Quds News Network (QNN).
Insiden itu berlaku ketika IOF terus memperhebat operasi ketenteraan, serbuan dan penahanan di seluruh Tebing Barat yang diduduki, di samping peningkatan serangan oleh pendatang haram Yahudi terhadap penduduk Palestin.
Menurut statistik Palestin, seramai 71 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat sejak awal tahun ini akibat serangan IOF dan pendatang haram Yahudi.
Pada masa sama, kawasan utara Tebing Barat, khususnya kem-kem pelarian dan wilayah sekitarnya, terus menjadi sasaran operasi ketenteraan pasukan IOF yang mengakibatkan puluhan korban serta kemusnahan besar terhadap kediaman dan infrastruktur awam.
Sementara itu, di semenanjung Gaza, IOF meneruskan operasi ketenteraan pada Khamis dengan merobohkan beberapa bangunan di timur bandar Gaza, menurut wartawan Al Mayadeen.
Di selatan Gaza pula, kapal perang milik rejim Zionis Israel dilaporkan melepaskan tembakan ke arah khemah yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal di kawasan al-Mawasi, Khan Yunis, manakala bedilan artileri turut menyasarkan kawasan timur bandar berkenaan.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan bahawa sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 11 Oktober, seramai 1,029 rakyat Palestin terbunuh, 3,294 lagi cedera, manakala 785 mayat berjaya ditemukan.
Secara keseluruhan, jumlah korban akibat serangan rejim Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023 kini meningkat kepada 73,041 orang, manakala 173,402 lagi dilaporkan cedera, menurut kementerian itu.
Sumber: The Palestinian Chronicle