Sekurang-kurangnya 350 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang di Gaza berdepan risiko maut apabila Kompleks al-Shifa di Gazamengumumkan pemberhentian rawatan dialisis akibat kekurangan bahan api.
Pengarah kepada kompleks perubatan terbesar di bandar Gaza itu mengumumkan pada pagi Selasa bahawa wad dialisis akan ditutup sepenuhnya menjelang tengah hari susulan kehabisan bahan api yang diperlukan untuk mengoperasikan penjana elektrik.
Menurut Dr Muhammad Abu Hassira, Pakar Perubatan Dalaman dan Nefrologi di kompleks tersebut, ini merupakan kali pertama unit ini ditutup sepenuhnya sejak perang di Gaza bermula pada Oktober lalu.
“Semasa fasa peperangan yang paling buruk, unit dialisis terpaksa menghentikan operasi beberapa kali selama beberapa hari akibat serangan Israel ke atas hospital. Hari ini, hospital masih beroperasi sebahagiannya tetapi kami benar-benar tidak dapat menghidupkan mesin dialisis kerana tiada bahan api,”katanya kepada Middle East Eye.
Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), antara 15 Mei dan 9 Jun, pihak berkuasa Israel dilaporkan menolak akses ke utara Gaza sebanyak 14 kali, sekali gus menghalang penghantaran bahan api dan menyebabkan kehilangan kira-kira 260,000 liter bahan api yang amat diperlukan untuk mengendalikan hospital.
“Saya tak dapat bayangkan apa akan jadi pada nenek saya jika dia tak dapat jalani sesi dialisis minggu ini. Sesi dia pun dah dikurangkan dari tiga kepada hanya dua kali seminggu. Kalau dia terlepas satu sesi, dia rasa sesak nafas. Tapi kalau lebih daripada itu, badannya mula bengkak, dan tak lama kemudian dia akan meninggal” kata Ahmed al-Sayed, 31.
Sebelum penutupan terbaru wad dialisis itu, para pesakit sudah pun berdepan pelbagai cabaran yang sering mengganggu atau membatalkan sesi rawatan mereka.
Menurut Oxfam International, bandar Gaza telah kehilangan hampir keseluruhan kapasiti pengeluaran airnya, dengan kira-kira 88 peratus telaga dan 100 peratus loji penyahgaraman musnah atau rosak menjelang Julai 2024. Kemusnahan infrastruktur air ini menyebabkan kakitangan perubatan bergelut untuk mendapatkan air bersih yang diperlukan bagi mengoperasikan mesin dialisis.
Walaupun selepas gencatan senjata dan pembinaan semula sebahagian wad dialisis al-Shifa, masalah kekurangan air kekal kritikal dan terus mengancam nyawa pesakit yang bergantung kepada rawatan berjadual untuk terus hidup.
Kemusnahan sistem kesihatan ini berpunca daripada serangan tentera Israel ke atas hospital, sekatan berterusan terhadap bekalan ubat serta gangguan bekalan elektrik, makanan dan air.
Namun, pukulan paling dahsyat kepada pesakit buah pinggang di Gaza berlaku apabila tentera Israel menyerang Hospital al-Shifa, kompleks perubatan terbesar di wilayah itu. Sejak serbuan tersebut, wad dialisis hospital berkenaan terus bergelut untuk mengekalkan operasinya, sekaligus memburukkan lagi krisis kesihatan yang sedia genting akibat kekurangan bekalan perubatan, air, dan elektrik.
Sumber: Middle East Eye