.png)
Hizbullah memaklumkan pada awal pagi Jumaat bahawa pihaknya telah melancarkan 13 serangan ke atas tentera dan lokasi ketenteraan rejim Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Zionis yang semakin meningkat di selatan Lubnan.
Dalam kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata para pejuangnya menyasarkan perhimpunan tentera Zionis, kenderaan tentera dan kedudukan mereka di selatan Lubnan menggunakan dron, peluru artileri serta senjata berpandu.
Hizbullah berkata serangan itu menyasarkan sebuah jentolak tentera di bandar Deir Siryan, dua kereta kebal Merkava di bandar al-Bayyada dan Bint Jbeil, sebuah platform Iron Dome berhampiran lokasi Jal al-Allam serta sebuah pusat pemerintahan di al-Bayyada.
Kumpulan itu juga berkata pihaknya menyasarkan tiga kumpulan askar dan kenderaan penjajah di bandar Shamaa dan Deir Siryan, serta kawasan segi tiga Alman al-Qusayr.
Hizbullah berkata serangan itu dilakukan bagi mempertahankan Lubnan dan rakyatnya serta sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh penjajah dan serangan ke atas kampung-kampung di selatan Lubnan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dron gentian optik yang dilancarkan Hizbullah terhadap tentera Zionis yang beroperasi di selatan Lubnan muncul sebagai cabaran yang semakin besar kepada penjajah kerana sukar dikesan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu baru-baru ini menyifatkan dron tersebut sebagai ancaman besar dan menggesa tenteranya supaya menanganinya.
Walaupun gencatan senjata diumumkan pada 17 April dan dilanjutkan hingga 17 Mei, tentera penjajah terus melakukan serangan harian di Lubnan serta pemusnahan rumah secara meluas di puluhan kampung, mengulangi kemusnahan bertahun-tahun yang dilakukannya di Gaza.
Sejak 2 Mac, serangan Zionis ke atas Lubnan telah membunuh sekurang-kurangnya 2,727 orang, mencederakan 8,438 lagi dan menyebabkan lebih 1.6 juta orang kehilangan tempat tinggal. Kira-kira satu perlima daripada populasi negara itu, menurut angka rasmi terkini.
Rejim Zionis menduduki kawasan-kawasan di selatan Lubnan, termasuk sebahagian yang telah dikuasainya selama beberapa dekad dan kawasan lain sejak perang 2023–2024 serta telah mara kira-kira 10 kilometer (6.2 batu) ke sempadan selatan semasa konflik ini berlaku.
Sumber: Anadolu Ajansi