.png)
Pihak berkuasa rejim Israel hanya meluluskan sebanyak 66 permit pembinaan kepada rakyat Palestin di Tebing Barat sepanjang tempoh 11 tahun, berbanding 22,000 permit yang diberikan kepada pendatang haram Israel.
Menurut laporan itu, antara tahun 2009 hingga 2020, hanya 66 permit dikeluarkan kepada rakyat Palestin, manakala 22,000 permit diberikan kepada pendatang haram Israel dalam tempoh sama. Sebahagian besar wilayah Tebing Barat tidak dibenarkan untuk pembangunan Palestin, menyebabkan penduduk terpaksa membuat pembinaan tanpa permit.
Menurut akhbar Israel, Haaretz tindakan perobohan meluas oleh pihak penjajah dilakukan sejak Januari lalu di kawasan Taawun, selatan Nablus. Kawasan itu terletak di Zon C dan tidak menerima permit pembinaan daripada pihak penjajah walaupun kawasan tersebut jauh daripada penempatan haram Israel mahupun jalan akses penduduknya.
Menurut laporan itu, al-Taawun hanyalah satu contoh peningkatan pesat perobohan di seluruh Tebing Barat. Pada Januari sahaja, tentera haram Israel merobohkan sebanyak 24 bangunan Palestin di Zon C atas alasan tiada permit.
Menurut data Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), sekurang-kurangnya 2,461 bangunan Palestin telah dirobohkan dalam tempoh dua tahun lalu atas alasan kekurangan permit, berbanding 4,984 bangunan sepanjang sembilan tahun sebelumnya. Akibatnya, kira-kira 3,500 penduduk kehilangan tempat tinggal dalam tempoh dua tahun tersebut.
Operasi perobohan itu turut berlaku seiring dengan pemindahan kira-kira 80 komuniti Palestin susulan peluasan ladang dan pos penempatan haram Zionis.
Menurut Perjanjian Oslo II 1995, Tebing Barat dibahagikan kepada tiga zon pentadbiran dan Zon C merangkumi kira-kira 61 peratus wilayah berada di bawah kawalan penuh sivil dan keselamatan pihak penjajah. Rakyat Palestin menyatakan bahawa rejim Zionis jarang meluluskan permit pembinaan di Zon C, sekali gus menyekat pembangunan dan penggunaan tanah.
Mereka melihat langkah tersebut sebagai pendahuluan kepada pengilhakan rasmi Tebing Barat serta pengilhakan de facto terhadap sebahagian besar wilayah itu.
Sumber: Middle East Monitor, Anadolu Ajansi