Menurut sumber dari Quds News Network (QNN), Hamas bersetuju dengan cadangan gencatan senjata yang dikemukakan Mesir. Gerakan itu mengesahkan persetujuan tersebut dalam kenyataan ringkas pada Isnin malam.
Cadangan berkenaan merangkumi beberapa langkah utama, termasuk pengunduran pasukan Israel sejauh 800 meter dari kawasan penempatan, serta penghantaran bantuan bekalan makanan harian sebanyak 600 buah trak.
Pelan itu turut menuntut pembebasan 1,700 tahanan Palestin, termasuk 1,500 dari Gaza. Gencatan selama 60 hari itu bertujuan membuka ruang ke arah perdamaian kekal.
Menurut sumber, HAMAS telah memaklumkan kelulusan mereka kepada para pengantara dan kini menunggu jawapan rasmi Israel. Sekiranya diterima, ia boleh menjadi titik perubahan ke arah menamatkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Utusan Khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff dijangka melawat rantau itu bagi memuktamadkan butiran perjanjian sekiranya Israel bersetuju. Saluran 12 Israel turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima maklum balas HAMAS terhadap cadangan Mesir.
Sebelum ini, Israel mendedahkan rancangan untuk menguasai bandar Gaza. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan matlamatnya bukanlah pendudukan penuh, tetapi menubuhkan pentadbiran awam yang bebas daripada HAMAS dan Pihak Berkuasa Palestin (PA). Pengkritik menyifatkan langkah itu sebagai usaha Israel untuk mencipta realiti politik baharu selepas sembilan bulan serangan berterusan.
Sejak 2 Mac lalu, Israel menutup semua lintasan masuk ke Gaza, menyebabkan bantuan kemanusiaan tersekat walaupun ratusan trak menunggu di sempadan. Bantuan terhad yang dibenarkan masuk gagal memenuhi keperluan asas, sekali gus mewujudkan kebuluran kepada seluruh rakyat Gaza.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel dengan sokongan penuh AS melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza. Pembunuhan, kebuluran, kemusnahan dan pengusiran paksa terus berlanjutan meskipun terdapat desakan antarabangsa serta arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya keganasan dihentikan.
Sumber: Quds News Network