
Gerakan Pejuang Palestin, HAMAS pada Khamis mengumumkan bahawa pihaknya bersedia untuk memulakan dialog nasional bersama semua faksi Palestin, dalam usaha memperkukuh perpaduan dalaman dan menentukan masa depan pentadbiran di Gaza selepas pelaksanaan gencatan senjata.
Pengumuman itu dibuat sempena pertemuan antara delegasi HAMAS dan Fatah di Kaherah, dengan pengantara kerajaan Mesir, bagi membincangkan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza serta hala tuju seterusnya bagi wilayah berkenaan.
Dalam temu bual bersama agensi berita Anadolu, jurucakap HAMAS, Hazem Qassem, memaklumkan bahawa gerakan itu menyertai dialog nasional dengan hati terbuka dan tangan terhulur kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) serta kekuatan nasional lain, sambil menegaskan bahawa PA merupakan salah satu institusi yang tidak boleh diketepikan.
Beliau menyeru semua pihak agar menyertai rundingan dengan minda terbuka dan berlandaskan kepentingan negara, sambil menegaskan bahawa inilah masanya untuk memperkukuh perpaduan nasional dan meletakkan kepentingan rakyat Palestin mengatasi kepentingan parti.
Menurut beliau:
“Tempoh semasa ini sangat berbahaya, bukan sahaja untuk HAMAS tetapi untuk seluruh rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.”
Beliau turut menegaskan komitmen penuh HAMAS terhadap pelaksanaan setiap butiran dalam perjanjian gencatan senjata Gaza, sambil menggesa para pengantara agar menekan Israel supaya mematuhi sepenuhnya komitmen berkenaan.
Qassem turut menjelaskan bahawa HAMAS telah menerima jaminan jelas daripada Türkiye, Mesir dan Qatar, selain jaminan langsung daripada Amerika Syarikat (AS), bahawa perang secara efektif telah berakhir dan pelaksanaan terma-terma perjanjian itu menandakan penamat sepenuhnya kepada peperangan.
Beliau turut berkata, HAMAS telah menyiapkan fasa pertama perjanjian dengan menyerahkan tawanan yang masih hidup bersama beberapa mayat dan kini sedang berusaha menyelesaikan penyerahan baki yang tinggal.
Berhubung fasa kedua, beliau menjelaskan bahawa ia memerlukan lebih banyak perbincangan dan penjelasan bersama para pengantara, kerana ia melibatkan isu-isu besar dan rumit yang memerlukan pendekatan terperinci.
“Matlamat utama HAMAS adalah untuk mencapai pengakhiran yang menyeluruh dan kekal terhadap perang yang dilancarkan ke atas rakyat Palestin di semenanjung Gaza,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa HAMAS telah melaporkan kepada para pengantara mengenai pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, sambil menyatakan bahawa seramai 90 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan itu berkuat kuasa, manakala lintasan Rafah kekal ditutup dan bantuan kemanusiaan masih disekat.
Qassem mendakwa Israel menjadikan situasi kemanusiaan sebagai alat tawar-menawar politik, satu amalan yang menurutnya telah berlarutan selama bertahun-tahun sejak pelaksanaan sekatan ke atas Gaza. Beliau menggesa tindakan segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dan mencegah berulangnya krisis kebuluran.
Fasa pertama pelan gencatan senjata Gazayang dikemukakan oleh Presiden AS, Donald Trump telah dicapai pada 10 Oktober lalu.
Fasa berkenaan termasuk pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, serta rancangan untuk membina semula Gaza dan menubuhkan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penyertaan HAMAS.
Sumber: Anadolu Ajansi