.png)
HAMAS pada Rabu menjelaskan bahawa mereka menggunakan ‘mayat palsu’ di utara Gaza sebagai taktik untuk mengelirukan tentera rejim Israel, sambil menafikan dakwaan bahawa pejuangnya merakam video menunjukkan usaha mengambil semula mayat seorang tawanan Israel.
Dalam video yang dimuat naik di saluran Telegram, sayap bersenjata HAMAS, Briged al-Qassam menjelaskan bahawa dron pengintip milik rejim Israel sedang memerhati usaha mereka untuk menjejak dan mengambil mayat tawanan Israel yang terbunuh dalam serangan udara terdahulu. Selepas pihak rejim berjaya mengesan lokasi-lokasi itu, mereka mengebom kawasan tersebut dalam tempoh gencatan senjata bagi menghapuskan bukti.
Tentera rejim Israel sebelum ini menyiarkan rakaman pada 28 Oktober yang didakwa menunjukkan pejuang HAMAS menggali semula dan menanam kembali mayat seorang tawanan. Namun HAMAS menjelaskan bahawa rakaman itu sebenarnya sebahagian daripada taktik keselamatan.
HAMAS memaklumkan bahawa pejuangnya hanya meletakkan kain yang dibalut menyerupai mayat dan sengaja membiarkan dron Israel merakamnya. Mereka mendakwa taktik itu berjaya memperdaya pihak musuh dan menuduh rejim Israel menggunakan rakaman tersebut untuk menuduh HAMAS memanipulasi mayat tawanan.
Gerakan itu juga menjelaskan bahawa mereka menggunakan pelbagai helah dan taktik semasa operasi mencari dan mengambil mayat bagi mengelak daripada dikesan oleh perisikan Israel.
Sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober, HAMAS telah membebaskan 20 tawanan Israel yang masih hidup dan menyerahkan 22 daripada 28 mayat, yang kebanyakannya adalah rakyat Israel. Namun rejim Israel mendakwa salah satu mayat yang diterima tidak sepadan dengan senarai tawanan mereka.
Rejim Israel menetapkan bahawa rundingan bagi fasa kedua gencatan senjata hanya akan bermula selepas semua mayat tawanan diserahkan. Sementara HAMAS pula berkata proses itu akan mengambil masa disebabkan keadaan kemusnahan berskala besar yang berlaku di Gaza.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata melibatkan pertukaran tawanan, di mana HAMAS telah menyerahkan tawanan Israel sebagai pertukaran pembebasan hampir 2,000 tahanan Palestin. Perjanjian itu juga meliputi rancangan pembangunan semula Gaza dan menubuhkan pentadbiran baharu tanpa penglibatan HAMAS.
Sejak Oktober 2023, serangan rejim Israel di Gaza telah mengakibatkan hampir 69,000 orang terbunuh, kebanyakannya mereka adalah wanita dan kanak-kanak selain lebih 170,600 orang cedera. Pihak berkuasa Palestin melaporkan bahawa 9,500 orang masih hilang di bawah runtuhan akibat serangan, manakala lebih 10,000 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, kini ditahan di penjara rejim.
Sumber: Anadolu Ajansi