Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Pemimpin HAMAS menegaskan bahawa mereka menuntut jaminan kukuh bahawa Israel akan menamatkan perang di Gaza dan berundur sepenuhnya dari wilayah Palestin, sebagai sebahagian daripada pelan 20 perkara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Rundingan tidak langsung antara HAMAS, Israel dan perantara antarabangsa memasuki hari kedua di Mesir pada Selasa, namun berakhir tanpa hasil konkrit.

Berucap di White House sempena ulang tahun kedua perang Gaza, Trump berkata beliau melihat ‘peluang sebenar untuk mencapai perjanjian,’ sambil mengesahkan bahawa rundingan akan diteruskan pada Rabu di Sharm el-Sheikh, dengan kehadiran wakil kanan Qatar dan AS.

Sebelum itu, satu kenyataan bersama kumpulan-kumpulan Palestin, termasuk Hamas, menegaskan pendirian bahawa ‘tiada siapa berhak melucutkan senjata rakyat Palestin’, merujuk kepada tuntutan pelucutan senjata HAMAS yang dimasukkan dalam pelan Trump.

Pemimpin kanan HAMAS, Fawzi Barhoum, berkata kumpulannya menuntut agar Israel menghentikan perang sepenuhnya dan menarik keluar semua tenteranya dari Gaza. Bagaimanapun, pelan Trump tidak menetapkan garis masa jelas bagi pengunduran itu, dan hanya menyatakan bahawa ia akan dilakukan selepas HAMAS menyerahkan 48 tahanan Israel, di mana 20 dipercayai masih hidup.

Seorang pegawai HAMAS yang ditemu bual oleh Al Jazeera berkata kumpulan itu bersedia melepaskan tahanan secara berperingkat berdasarkan tahap pengunduran tentera Israel dari Gaza.

“Rundingan hari ini memberi tumpuan kepada penjadualan pembebasan tahanan dan peta pengunduran tentera Israel. HAMAS menegaskan bahawa pembebasan tahanan terakhir mesti bertepatan dengan pengunduran penuh Israel,” katanya.

Ketua perunding HAMAS, Khalil al-Hayya, seperti dilaporkan oleh Al Qahera News, berkata kumpulannya tidak mempercayai pendudukan Israel walau sesaat pun. Beliau menegaskan bahawa HAMAS mahukan jaminan sebenar bahawa perang akan ditamatkan dan tidak akan dimulakan semula, sambil menuduh Israel melanggar dua perjanjian gencatan senjata sebelum ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan sempena ulang tahun serangan HAMAS pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang tersebut. Beliau menggambarkan konflik yang telah berlarutan selama dua tahun itu sebagai ‘perang untuk kewujudan dan masa depan Israel.’

Sumber: Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
October 8, 2025