Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) menyatakan bahawa laporan media Ibrani berhubung hasrat kerajaan penjajah Israel untuk membatalkan lesen operasi puluhan organisasi bantuan antarabangsa di Tebing Barat dan semenanjung Gaza merupakan satu peningkatan ketegangan yang berbahaya. Gerakan itu juga menegaskan bahawa langkah tersebut mencerminkan penghinaan terang-terangan terhadap masyarakat antarabangsa serta sistem kerja kemanusiaan global.


Menurut HAMAS, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha penjajah untuk mempolitikkan usaha kerja bantuan kemanusiaan dan menjadikannya sebagai instrumen paksaan terhadap rakyat Palestin yang kini sedang berdepan bencana kemanusiaan akibat penjajahan itu sendiri, khususnya di Gaza.


Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu malam, HAMAS menuntut masyarakat antarabangsa — khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta semua institusi hak asasi dan kemanusiaan antarabangsa — supaya bertindak segera dengan berkesan bagi mengecam tingkah laku jenayah ini, serta memberi tekanan kepada kerajaan penjajah dan penjenayah perang, Benjamin Netanyahu agar menarik balik dasar tersebut.


HAMAS turut menegaskan keperluan untuk menghalang rejim Israel daripada menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai senjata kebuluran dan alat untuk meneruskan penderitaan rakyat Palestin yang jelas bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.


Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk pada Rabu menyifatkan rancangan rejim Israel untuk menggantung hak operasi puluhan organisasi bantuan di Gaza bermula Januari sebagai satu tindakan yang tidak masuk akal, sambil menggesa negara-negara agar segera mendesak rejim Israel mengubah pendiriannya. Kesatuan Eropah (EU) pula memberi amaran bahawa langkah itu akan menghalang bantuan penyelamat nyawa daripada sampai kepada penduduk Gaza.


“Penggantungan secara sewenang-wenangnya ini memburukkan lagi keadaan yang sememangnya tidak tertanggung bagi penduduk Gaza,” kata Volker Türk dalam satu kenyataan.


Kenyataan itu dibuat selepas rejim Israel mengumumkan bahawa 37 organisasi bantuan dilarang beroperasi di Gaza sekiranya mereka tidak mematuhi garis panduan baharu yang mewajibkan penyerahan maklumat terperinci mengenai kakitangan rakyat Palestin. Tarikh akhir untuk organisasi-organisasi tersebut menghentikan operasi ialah 1 Mac. Dalam satu kenyataan lain, mereka dilarang beroperasi di wilayah Palestin bermula 1 Januari 2026.


Organisasi-organisasi yang dilarang ini terlibat dalam bidang perubatan kecemasan, bantuan makanan, perlindungan kanak-kanak serta sokongan kepada pelarian dan golongan orang kurang upaya (OKU). Larangan ini dianggap sebagai tamparan hebat terhadap usaha kemanusiaan dan berpotensi mengancam nyawa orang awam, khususnya kanak-kanak dan pesakit, selain merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.


Institusi-institusi antarabangsa turut menyatakan bahawa peraturan yang cuba dipaksakan oleh pihak penjajah bersifat sewenang-wenangnya dan boleh membahayakan keselamatan kakitangan mereka.


Antara organisasi yang dimaklumkan mengenai larangan tersebut ialah:

  1. Action Against Hunger
  2. ActionAid
  3. Alianza por la Solidaridad
  4. Campaign for the Children of Palestine
  5. CARE
  6. DanChurchAid
  7. Danish Refugee Council (DRC)
  8. Handicap International – Humanity & Inclusion
  9. Japan International Volunteer Center (JVC)
  10. Médecins du Monde France
  11. Médecins du Monde Switzerland
  12. Médecins Sans Frontières Belgium (MSF)
  13. Médecins Sans Frontières France (MSF)
  14. Médecins Sans Frontières Netherlands (MSF)
  15. Médicos del Mundo
  16. Mercy Corps
  17. Médecins Sans Frontières Spain (MSF)
  18. Norwegian Refugee Council (NRC)
  19. Oxfam Novib
  20. Première Urgence Internationale (PUI)
  21. Terre des hommes – Lausanne
  22. International Rescue Committee (IRC)

Sumber: Shehab News, The Times of Israel

Written by
Admin
Published on
January 1, 2026