Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) menegaskan bahawa tindakan rejim Israel mempercepat kelulusan undang-undang hukuman mati terhadap tahanan Palestin, selain memulakan persiapan mekanisme pelaksanaannya telah mendedahkan wajah sebenar rejim haram yang berteraskan pertumpahan darah, jenayah terancang dan hukuman kolektif.

Menurut HAMAS, langkah tersebut turut disifatkan sebagai satu cabaran terbuka terhadap semua undang-undang serta perjanjian antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.

Dalam satu kenyataan media pada petang Isnin, HAMAS menyatakan bahawa langkah tersebut merupakan satu peningkatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam dasar pembunuhan secara perlahan yang diamalkan oleh penjajah terhadap para tahanan Palestin.

HAMAS turut menjelaskan bahawa tindakan ini berlaku dalam konteks kekejaman dan penyeksaan sistematik di dalam penjara, di mana para tahanan setiap hari berdepan penderaan, pengabaian perubatan dan kebuluran yang disengajakan, sebagai kesinambungan jelas kepada perang genosid terbuka terhadap rakyat Palestin.

Sementara itu, Saluran 13 Israel melaporkan bahawa Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) telah memulakan persiapan terperinci bagi melaksanakan hukuman mati terhadap tahanan Palestin selepas Rang Undang-Undang (RUU) tersebut melepasi bacaan pertama di Knesset.

Pihak berkuasa Israel kini sedang membina sebuah kompleks khas bagi pelaksanaan hukuman mati serta merangka prosedur operasi yang mengawal setiap peringkat pelaksanaan, bermula daripada pengurusan kakitangan hingga pemantauan perundangan.

Pelan itu turut merangkumi latihan khusus untuk petugas terpilih serta kajian terhadap model pelaksanaan hukuman mati di beberapa negara luar yang masih mengamalkan hukuman tersebut. Sumber yang dipetik dalam laporan itu menyatakan bahawa hukuman mati akan dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas keputusan kehakiman muktamad.

HAMAS menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semua institusi hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa, serta masyarakat dunia yang cintakan keadilan, agar mengambil tindakan segera dan berkesan bagi melindungi para tahanan serta menghentikan jenayah berbahaya ini.

Gerakan itu menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak akan berdiam diri berdepan jenayah-jenayah tersebut. Menurutnya, isu tahanan akan terus kekal sebagai keutamaan utama sehingga mereka memperoleh kebebasan sepenuhnya. Gerakan berkenaan turut menegaskan komitmen untuk memastikan semua pihak yang bersekongkol atau terlibat dalam jenayah penjara tersebut dibawa ke muka pengadilan.


Sumber: Shehab News, The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
February 10, 2026