Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Ketua HAMAS di semenanjung Gaza merangkap ketua delegasi rundingannya, Dr. Khalil al-Hayya, mengumumkan kesediaan HAMAS untuk terlibat dalam rundingan yang merangkumi pemberhentian sepenuhnya permusuhan, pengunduran sepenuhnya Israel dari semenanjung Gaza, pembebasan semua tawanan Israel dan sejumlah tahanan Palestin, dan pembinaan semula Gaza.

Al-Hayya menjelaskan bahawa HAMAS dan fraksi mujahidin Palestin yang lain telah menunaikan sepenuhnya komitmen mereka dalam perjanjian gencatan senjata. Namun, Perdana Menteri entiti haram Israel, Benjamin Netanyahu telah mengingkarinya sebelum fasa pertama perjanjian tersebut sempat diselesaikan. Menurutnya, Netanyahu kembali melancarkan jenayahnya paling kejam dengan pelbagai bentuk genosid.

Dalam ucapannya pada malam Khamis, al-Hayya turut menyatakan bahawa sejak awal pencerobohan Israel ke atas Gaza, HAMAS bersama fraksi-fraksi mujahidin telah berusaha untuk menghentikan perang. Tambahnya, rundingan telah berlangsung lebih daripada setahun setengah dan akhirnya membuahkan satu perjanjian awal pada 17 Januari yang merangkumi tiga fasa.

Beliau menjelaskan bahawa para pengantara telah menyambung semula rundingan dengan HAMAS dalam usaha mencari jalan keluar bagi krisis yang 'dicipta oleh Netanyahu'. Tambahnya lagi, HAMAS telah pun bersetuju pada akhir Ramadan terhadap cadangan yang dikemukakan, meskipun menyedari bahawa Netanyahu berniat untuk memanjangkan tempoh perang demi kepentingan agenda politik peribadinya. Beliau menegaskan bahawa penolakan kerajaan Israel terhadap cadangan pengantara mencerminkan niat tersebut.

Al-Hayya turut mendedahkan bahawa respons terbaru pihak Israel yang mengandungi syarat-syarat yang tidak munasabah, tidak membawa kepada penamatan perang mahupun pengunduran tentera Israel dari Gaza, sekali gus menunjukkan kedegilan berterusan rejim di samping menggagalkan usaha gencatan senjata.

Beliau sekali lagi menyatakan kesediaan HAMAS untuk terlibat dalam rundingan segera yang membawa kepada perjanjian pertukaran tahanan yang menyeluruh, dengan syarat ia merangkumi penghentian penuh perang, pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, permulaan proses pembinaan semula serta pengakhiran sekatan ke atas Gaza.

Al-Hayya juga memberi amaran terhadap tindakan Netanyahu yang menggunakan perjanjian-perjanjian separa sebagai alat politik untuk melanjutkan perang, meskipun dengan mengorbankan tentera Israel yang ditawan. Beliau menegaskan bahawa HAMAS tidak akan menjadi sebahagian daripada polisi seperti itu.

Al-Hayya menegaskan bahawa perjuangan rakyat Palestin dan senjata mereka adalah hak yang sah selagi penjajahan masih berterusan, dan hak ini dijamin oleh undang-undang antarabangsa kepada semua bangsa yang berada di bawah penjajahan.

Dalam perkembangan berkaitan, al-Hayya menyambut baik kenyataan Adam Boehler, Utusan Khas Presiden AS Donald Trump, yang menyeru agar isu tawanan diselesaikan serentak dengan penamatan perang. Al-Hayya menyifatkan cadangan itu selaras dengan pendirian HAMAS yang menggesa kepada perjanjian menyeluruh yang merangkumi penghentian pencerobohan, pengunduran penjajah dan pembinaan semula Gaza.

Al-Hayya menutup kenyataannya dengan menyeru masyarakat antarabangsa agar segera campur tangan demi menamatkan sekatan ke atas Gaza, yang kini dihuni oleh lebih dua juta penduduk yang terdedah kepada ancaman kebuluran, pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta penafian terhadap hak-hak asasi mereka.

Sumber: Shehab Agency

Written by
Admin
Published on
April 18, 2025