Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Sebuah kapal armada Global Sumud Flotilla (GSF) sekali lagi diserang pada malam Selasa, menjadikannya serangan kedua dalam tempoh dua hari.

Kapal Alma yang berdaftar di bawah United Kingdom (UK) disahkan telah diserang oleh sebuah dron ketika sedang berlabuh di perairan Sidi Bou Said, Tunisia. Menurut kenyataan rasmi GSF, serangan itu menyebabkan kebakaran di bahagian dek atas kapal namun, api berjaya dipadamkan sepenuhnya. Semua penumpang dan kru dilaporkan selamat.

Kapal tersebut juga merupakan kapal yang turut dinaiki oleh sukarelawan Sumud Nusantara dari Malaysia iaitu Musa Nuwayri, Sul Aidil dan Iylia Balqis.

Wartawan Al Jazeera, Mauricio Morales, yang turut bersama flotila, mengesahkan kejadian itu dan berkongsi imej serpihan yang dipercayai sisa projektil digunakan dalam serangan.

Serangan ini berlaku hanya beberapa jam selepas kapal Family turut menjadi sasaran pada pagi Selasa. GSF tekad meneruskan misi memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza biarpun menjadi sasaran serangan berkali-kali.

“Ini adalah percubaan terancang untuk mengganggu dan melemahkan misi kami. Namun, flotila kami akan terus berlayar dengan penuh tekad dan keberanian,” kata GSF dalam kenyataan rasmi mereka.

Saif Abukeshek, seorang aktivis Palestin dan ahli jawatankuasa induk GSF, turut menyatakan bahawa misi solidariti itu tidak akan berhenti hanya kerana serangan yang dilakukan.

“Kerajaan yang melakukan genosid ini telah mengebom rakyat Palestin sejak 78 tahun lalu. Selama 22 bulan mereka terus melakukan genosid namun, rakyat Palestin tetap bangun setiap hari dengan harapan baharu. Jika mereka mampu bertahan, bagaimana mungkin kami menyerah hanya kerana dua serangan?” ujarnya kepada Al Jazeera.

GSF kini sedang meneruskan persediaan bagi pelayaran terbesar ke Gaza dengan membawa lebih 200 aktivis, ahli politik, artis serta sukarelawan dari 44 negara. Misi kemanusiaan itu merupakan armada flotila awam terbesar sejak bermulanya sekatan Israel ke atas Gaza lebih 17 tahun lalu.

Sumber: Global Sumud Flotilla, Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
September 10, 2025