Greece berikrar akan menjamin pelayaran selamat bagi semua bot Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di perairannya, kata Menteri Luar Greece pada Khamis. Athens turut memaklumkan kepada Israel bahawa warganegaranya turut serta dalam flotila antarabangsa menuju ke Gaza itu.
GSF menghimpunkan kira-kira 50 bot awam bagi mencabar sekatan laut Israel ke atas Gaza. Ramai peguam dan aktivis, termasuk aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, turut berada di atas bot tersebut.
“Kini terdapat sebilangan kecil bot di perairan Crete dan kami akan menjamin keselamatan pelayaran mereka,” kata Menteri Luar Greece, Giorgos Gerapetritis, kepada Reuters dalam satu temu bual di luar sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Gerapetritis berkata Athens tidak bercadang menyertai kapal tentera laut Itali dan Sepanyol pada peringkat ini. “Buat masa ini ia kelihatan selamat, namun kami tetap berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya,” katanya.
Israel sebelum ini berulang kali mengkritik flotila tersebut dan menuduh para aktivisnya bersekongkol dengan gerakan pejuang HAMAS.Dalam perkembangan sebelum ini, Itali dan Sepanyol telah menghantar sebuah kapal tentera laut untuk mengiringi flotila itu selepas kapal-kapal tersebut diserang oleh 12 dron di perairan antarabangsa, kira-kira 30 batu nautika (56 kilometer) dari pulau Gavdos, Greece.
Sumber: Reuters