.png)
Gencatan senjata di Gaza sedikit sebanyak meredakan trauma penduduk Gaza, namun kekurangan wang tunai terus menjerut kehidupan penduduk yang bergelut untuk memenuhi keperluan asas.
Bank-bank yang rosak atau musnah sepanjang dua tahun peperangan mula dibuka semula pada 16 Oktober lalu, enam hari selepas gencatan senjata diumumkan, tetapi ramai penduduk Gaza pulang dengan kekecewaan apabila tiada wang tunai tersedia. Penduduk Gaza bergantung sepenuhnya pada wang tunai untuk urusan harian, namun rejim Israel terus menyekat penghantaran wang kertas sejak Oktober 2023.
“Bank memang dibuka, tetapi hanya untuk urusan elektronik dan tiada pengeluaran tunai,” kata ahli ekonomi Gaza, Mohammad Abu Jayyab. “Ramai terpaksa menukar gaji dengan peniaga yang mengenakan caj antara 20 hingga 40 peratus.”
Ada juga yang mengambil peluang daripada krisis ini untuk mencari rezeki. Manal al-Saidi, 40 tahun, membaiki wang kertas rosak bagi membeli sedikit makanan. “Saya dapat 20 atau 30 shekel sehari, cukup untuk membeli roti atau falafel,” katanya.
Dalam keadaan wang tunai semakin sukar diperoleh, sesetengah penduduk terpaksa menggunakan pindahan wang elektronik walaupun untuk pembelian kecil, manakala ada sebahagian penduduk yang beralih kepada sistem barter.
Kekurangan wang kertas dan syiling semakin menambah penderitaan penduduk Gaza yang telah kehilangan keluarga, tempat tinggal dan sumber pendapatan.
Agensi tentera rejim Israel yang bertanggungjawab menyelaras penghantaran bantuan ke semenanjung Gaza, COGAT, masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung kemungkinan atau tarikh kemasukan semula wang kertas ke wilayah tersebut.
Seorang peniaga Palestin, Samir Namrouti, 53 tahun, berkata beliau sudah terbiasa menerima wang kertas yang hampir tidak dikenali akibat terlalu lama digunakan.
“Apa yang penting bagi saya hanyalah nombor siri. Selagi nombor siri itu ada, saya tetap anggap ia sebagai wang,” katanya.
Sumber: Reuters