Israel bertindak balas secara agresif pada Ahad selepas Britain, Kanada, Australia dan Portugal secara rasmi mengiktiraf Palestin. Pengumuman itu dibuat ketika para pemimpin dunia berkumpul untuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di New York.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan bahawa sebuah negara Palestin tidak akan pernah wujud di sebelah barat Sungai Jordan.
Netanyahu menyifatkan pengiktirafan itu sebagai ganjaran besar untuk keganasan selepas perang 7 Oktober.
“Selama bertahun-tahun saya menentang penubuhan negara ‘pengganas’ ini meskipun berdepan tekanan besar,” katanya. “Kami telah menggandakan penempatan Yahudi di Judea dan Samaria, dan akan terus berada di landasan ini,” tambahnya, merujuk kepada penempatan kolonial Israel di Tebing Barat.
Beliau berjanji akan memberikan tindak balas penuh selepas pulang dari Amerika Syarikat (AS). “Tunggu saja,” ancamnya.
Kementerian Luar Israel menyifatkan langkah pengiktirafan itu sebagai ganjaran kepada HAMAS, yang menurutnya didorong oleh Ikhwanul Muslimin di United Kingdom (UK).
“Kita mesti menakluki Judea dan Samaria serta memusnahkan sepenuhnya Pihak Berkuasa Palestin,” tegas Itamar Ben-Gvir.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menegaskan bahawa kuasa asing tidak lagi berhak menentukan masa depan Israel. “Zaman di mana Britain atau mana-mana negara lain memutuskan masa depan kita sudah berakhir,” katanya sambil menggesa penaklukan Tebing Barat.
Sementara itu, pemimpin Demokrat Israel, Yair Golan, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai kegagalan politik besar-besaran oleh Netanyahu dan Smotrich. “Ini adalah tamparan hebat terhadap keselamatan Israel,” katanya.
Sumber: Quds News Network