.jpg)
Gambar pertama seorang doktor Palestin, Dr. Hussam Abu Safiya, sejak ditahan oleh rejim Israel pada Disember 2024 akhirnya didedahkan kepada umum selepas lebih 17 bulan berada dalam tahanan rejim, sekali gus mencetuskan semula kebimbangan antarabangsa terhadap keadaan kesihatan dan layanan yang diterimanya di penjara.
Dr. Abu Safiya, yang merupakan bekas Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, ditahan pada 27 Disember 2024 selepas tentera rejim Israel menyerbu dan mengosongkan hospital berkenaan, yang ketika itu merupakan antara kemudahan perubatan utama terakhir yang masih beroperasi di wilayah tersebut.
Pakar pediatrik itu mendapat perhatian dunia kerana enggan meninggalkan pesakitnya meskipun berdepan serangan berterusan dan arahan pemindahan daripada tentera rejim Israel. Beliau turut meneruskan tugasnya walaupun anak lelakinya, Ibrahim turut gugur terkorban dalam satu serangan rejim berhampiran hospital tersebut.
Selepas penahanannya, pihak berkuasa rejim Israel mengklasifikasikan beliau sebagai pejuang tidak sah (unlawful combatant), bagi membolehkan beliau ditahan tanpa pertuduhan rasmi. Sehingga kini, lebih 17 bulan selepas penahanannya, tiada lagi sebarang bukti awam dikemukakan bagi menyokong dakwaan terhadap beliau.
Pendedahan gambar tersebut berlaku ketika kebimbangan semakin meningkat berhubung laporan bahawa beliau telah dipindahkan ke tahanan bersendirian. Menurut organisasi Physicians for Human Rights Israel (PHRI), Abu Safiya baru-baru ini telah dipindahkan dari Penjara Ketziot ke Penjara Ramon dalam kompleks penjara Ganot dan ditempatkan bersendirian di dalam sel yang sempit dan dalam keadaan yang sukar.
Peguam beliau, Nasser Odeh memaklumkan bahawa Abu Safiya masih mengalami sakit belakang kronik dan masalah penglihatan, namun tidak menerima rawatan perubatan yang mencukupi. Pertubuhan hak asasi manusia turut memberi amaran bahawa tahanan bersendirian dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan kesan fizikal dan psikologi yang serius, khususnya terhadap individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
Dalam perkembangan berkaitan, ahli keluarga Abu Safiya mendedahkan bahawa beliau baru-baru ini meminta agar wartawan Palestin, Anas al-Sharif dimaklumkan mengenai keadaannya serta penderitaan sektor kesihatan di Gaza. Permintaan itu dipercayai menunjukkan bahawa beliau tidak mengetahui wartawan berkenaan telah gugur terkorban beberapa bulan lalu dalam serangan rejim Israel, sekali gus menggambarkan tahap pengasingan yang dialaminya daripada dunia luar sepanjang berada dalam tahanan.
Sementara itu, pelbagai organisasi hak asasi manusia terus menggesa pembebasan segera Abu Safiya dan menyifatkan penahanannya sebagai sebahagian daripada corak yang lebih luas dalam tindakan rejim Israel menyasarkan petugas kesihatan Palestin sepanjang perang di Gaza.
Menurut organisasi tersebut, sejumlah doktor, jururawat dan anggota paramedik Palestin masih berada dalam tahanan rejim Israel sehingga kini. Penyokong Abu Safiya berharap pendedahan gambar tersebut dapat mengembalikan perhatian masyarakat antarabangsa terhadap nasib beliau yang dianggap sebagai simbol ketabahan sektor kesihatan Gaza di tengah-tengah kemusnahan perang.
Lebih 17 bulan selepas ditahan, beliau masih dipenjarakan tanpa sebarang pertuduhan rasmi, sekali gus menimbulkan persoalan berterusan mengenai keadaan kesihatan, hak asasi dan kebebasannya.
Sumber: The Palestine Chronicle