Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Gabenor Baitul Maqdis memberi amaran bahawa sebahagian struktur Masjid al-Aqsa berisiko runtuh akibat kerja-kerja penggalian berterusan oleh rejim Israel di sekitar dan di bawah kawasan masjid serta Kota Lama Baitul Maqdis.


Menurut Penasihat Gabenor, Marouf al-Rifai, aktiviti tersebut melibatkan penggalian terowong lama dan baharu yang menghubungkan beberapa kawasan penempatan haram Israel, sebagai sebahagian daripada rancangan orang Yahudi terhadap warisan sejarah dan Islam di kota suci itu.


Al-Rifai menjelaskan bahawa terowong-terowong ini menghubungkan kawasan yang digelar oleh pihak rejim sebagai Bandar Daud melalui laluan batu yang asalnya merupakan saluran air purba. Saluran-saluran ini telah dikeringkan dan diubah menjadi terowong, muzium, serta rumah ibadat Yahudi. Salah sebuah daripadanya, dikenali sebagai Pasar Jabbana, telah ditukar menjadi laluan pelancongan Yahudi yang kini mengancam kestabilan struktur di bawah Masjid al-Aqsa.


Beliau turut memberi amaran bahawa usaha penggalian tersebut boleh menyebabkan kemusnahan pelbagai peninggalan lama kota Palestin, termasuk rumah dan sekolah bersejarah, serta menjejaskan kestabilan tanah di bawah Masjid al-Aqsa. Tambahnya lagi, kerja-kerja tersebut dijalankan tanpa kaedah saintifik yang sahih dan bertentangan dengan status quo, sekali gus membuktikan bahawa tindakan itu bermotifkan politik bagi memperkukuh kawalan rejim Israel terhadap kawasan berkenaan.


Al-Rifai menegaskan bahawa matlamat utama penggalian adalah untuk memaksa kawalan rejim Israel ke atas tapak-tapak suci milik umat Islam dan Kristian di Baitul Maqdis. Langkah ini menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan identiti Palestin dan keislaman bandar tersebut, yang menjadi sasaran projek jangka panjang rejim haram untuk menukar ciri sejarah dan budaya asal Kota Lama.


Beliau turut menyatakan bahawa kerja-kerja penggalian dilakukan secara rahsia tanpa pemantauan antarabangsa, sekali gus telah menjejaskan Masjid al-Aqsa dan warisan sejarahnya. Usaha ini, katanya, merupakan sebahagian daripada agenda bangsa Yahudi bagi menyokong naratif Israel bahawa Baitul Maqdis adalah sebuah bandar milik bangsa Yahudi.


Sumber: WAFA Agency

Written by
Admin
Published on
October 23, 2025