Satu flotila awam berskala besar sedang bersiap untuk belayar ke semenanjung Gaza dalam usaha berani memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah itu. Menurut penganjur, ini bakal menjadi pelayaran terbesar ke wilayah yang terkepung itu sejak sekatan bermula.
Puluhan kapal dijadual berlepas dari beberapa pelabuhan di seluruh dunia menjelang akhir Ogos ini. Flotila pertama akan bertolak dari Sepanyol pada 31 Ogos, diikuti satu lagi dari Tunisia pada 4 September.
Sementara itu, konvoi dari Asia Tenggara dengan Malaysia sebagai negara peneraju akan dilepaskan pada 23 Ogos oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kempen ini, yang dikenali sebagai Flotila Global Sumud, melibatkan penyertaan aktivis dari lebih 44 negara. Antara delegasi yang terlibat termasuk dari Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Brazil, Sri Lanka dan Itali. Turut menyertai pelayaran ini ialah doktor, peguam, wartawan dan aktivis hak asasi manusia yang akan menaiki kapal ke Gaza.
Dalam satu sidang media di Tunisia, penganjur menyatakan bahawa fllotila ini digerakkan sebagai bantahan terhadap jenayah genosid di Gaza dan kebisuan masyarakat antarabangsa.
“Musim panas ini, puluhan kapal, besar dan kecil, akan berlayar dari pelabuhan-pelabuhan di seluruh dunia menuju ke Gaza dalam konvoi awam terbesar dalam sejarah,” kata penganjur, Haifa Mansouri.
Usaha ini menghimpunkan empat inisiatif global utama — Flotila Sumud Maghreb, Pergerakan Global ke Gaza, Gabungan Freedom Flotilla dan Sumud Nusantara.
Matlamat bersama mereka adalah untuk memecahkan sekatan haram ke atas Gaza melalui laut, mewujudkan koridor kemanusiaan dan menentang genosid yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin.
Seorang lagi penganjur, Seif Abu Keshk, berkata lebih 6,000 orang telah mendaftar secara dalam talian untuk menyertai konvoi ini.
“Para peserta akan menjalani latihan di lokasi pelepasan. Acara solidariti dan perkhemahan turut diadakan sepanjang laluan.”
Penganjur turut memberi amaran kepada Israel agar tidak menghalang pergerakan flotila tersebut. Menurut mereka, sebarang cubaan untuk menyekat flotila di perairan antarabangsa akan dianggap sebagai jenayah di bawah undang-undang antarabangsa.
Pengumuman mengenai flotila ini dibuat hanya beberapa hari selepas tentera laut Israel memintas kapal bantuan Handala yang sedang dalam pelayaran ke Gaza pada 26 Julai lalu. Kapal itu dilaporkan berada kira-kira 70 batu nautika dari Gaza sebelum dipaksa berlabuh di Pelabuhan Ashdod.
Awal tahun ini, sebuah lagi kapal, Madleen, hampir berjaya menghampiri perairan Gaza sejauh 110 batu nautika sebelum turut dihentikan.
Walaupun bantahan global semakin meningkat, serangan Israel ke atas Gaza masih berterusan. Ketika kerajaan-kerajaan dunia terus gagal mengambil tindakan tegas, Flotila Global Sumud tampil dengan harapan untuk memecahkan keheningan antarabangsa terhadap kekejaman yang berlaku.
Sumber: Quds News Network