Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Dua hospital utama di bandar Gaza berdepan serangan bertubi-tubi Israel sejak Ahad, memaksa ramai pesakit melarikan diri walaupun mereka memerlukan rawatan segera. Antara yang terjejas termasuk bayi pramatang dan pesakit kanser.

Tentera Israel menembak Hospital Al-Helou yang menempatkan 12 bayi pramatang di unit neonatal serta sebuah wad kanser dengan dua peluru artileri. Sumber perubatan mengesahkan lebih 90 orang, termasuk doktor, jururawat dan pesakit masih terperangkap di dalam hospital.


Hospital al-Shifa, pusat perubatan terbesar di Gaza turut diserang. Doktor menggambarkan suasana ngeri apabila serangan memaksa pesakit melarikan diri. Walaupun sebahagian bangunan musnah, hospital masih beroperasi dengan kekangan kritikal bahan api, ubat-ubatan dan peralatan akibat sekatan Israel.


Rakaman di media sosial menunjukkan letupan dan tembakan berat di sekitar al-Shifa. Menurut pengarah hospital, Dr Muhammad Abu Salmiya, ribuan akan maut sekiranya fasiliti ini terhenti beroperasi.


Pusat Hak Asasi Manusia Palestin melaporkan bahawa Israel menggunakan taktik fire belts, iaitu serangan yang bertubi-tubi terhadap satu kawasan sehingga menyebabkan nyalaan api yang besar. Rejim Zionis juga telah mengerahkan kenderaan sarat bahan letupan di sekitar Hospital al-Shifa ketika tentera mara dari utara dan timur. Akibatnya, ramai petugas kesihatan tidak dapat masuk bekerja, sebahagiannya terbunuh dan banyak prosedur rawatan terpaksa digantung.


Dr Hasan al-Sha’ir, pengarah perubatan al-Shifa berkata sekurang-kurangnya 100 pesakit kini menerima rawatan dalam keadaan amat sukar dengan kekurangan ubat dan peralatan penting.


Sementara itu, bandar Gaza kini dibedil secara sistematik. Berpuluh-puluh bangunan kediaman, sekolah, pusat perlindungan dan menara kediaman musnah. Ratusan penduduk dipaksa berpindah setiap hari ke arah selatan menuju kawasan al-Mawasi – yang digelar “zon selamat” – namun kawasan itu sesak, kekurangan kemudahan awam dan turut menjadi sasaran serangan Israel.


Sumber tempatan berkata bandar itu sedang dikosongkan bangunan demi bangunan dan keluarga demi keluarga. Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmoud Basal menggambarkan serangan itu bukan sekadar berpunca dari peluru berpandu tetapi tong api dan lava yang membakar tanah serta segala yang ada di atasnya.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan pelancaran operasi besar-besaran baharu di bandar Gaza pada Selasa lepas dinamakan Gideon’s Chariots 2. Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pula meraikan serangan itu dengan kenyataan sinis: “Gaza (bandar Gaza) sedang terbakar.”


Israel mendakwa operasi ini bertujuan menguasai Bandar Gaza dan menghancurkan HAMAS tetapi pemerhati PBB menegaskan ia adalah sebahagian daripada strategi penghapusan etnik melalui pemindahan paksa.


Pada hari sama, pakar bebas yang dilantik Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengesahkan Israel sedang melakukan genosid di Gaza.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
September 30, 2025