Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Dokumen yang baru diperoleh mendedahkan siri pertemuan sulit antara mantan Duta Israel ke United Kingdom (UK), Tzipi Hotovely, dengan pegawai kanan Britain, pelobi dan penderma politik ketika rejim haram Israel meneruskan genosid di Gaza.


Dokumen tersebut diperoleh oleh saluran kewartawanan penyiasatan British, Declassified UK, menerusi diari peribadi Hotovely yang didedahkan melalui permohonan Kebebasan Maklumat yang difailkan peguam Israel, Elad Man daripada NGO Hatzlacha. Diari itu memberikan gambaran mengenai rangkaian hubungan serta pertemuan tertutup yang diadakannya di London sepanjang hampir dua tahun.


Diari itu menunjukkan Hotovely mengadakan pertemuan sulit dengan Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Mark Rowley pada November 2023 dan Penolong Pesuruhjaya Matt Jukes pada Ogos 2024. Pertemuan itu berlaku ketika perdebatan awam di Britain semakin memuncak berhubung tindakan polis terhadap protes pro-Palestin dan operasi ketenteraan Israel di Gaza.


Catatan diari yang didedahkan itu turut menunjukkan wujudnya koordinasi meluas antara kedutaan Israel dan kumpulan pelobi Zionis di Britain. Walaupun secara terbuka mendakwa bebas daripada kerajaan Israel, Conservative Friends of Israel (CFI) dan Labour Friends of Israel (LFI) dilihat mengekalkan hubungan tetap dengan duta tersebut.


Hotovely dilaporkan bertemu sebanyak empat kali dengan Stuart Polak, tokoh kanan CFI dan Ahli Dewan Pertuanan Britain serta sebahagian pertemuan itu turut disertai diplomat Israel, Yossi Amrani dan Meirav Eilon Shahar yang memegang jawatan kanan dalam Kementerian Luar Israel.


Diari tersebut turut mendedahkan Hotovely bertemu Ahli Parlimen Parti Buruh, Luke Akehurst ketika persidangan parti itu di Liverpool. Akehurst sebelum ini mengetuai kumpulan pro-Israel “We Believe in Israel”, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai pengaruh dan penjajaran politik.


Hubungan Hotovely bukan sahaja melibatkan ahli politik, malah turut melibatkan penderma utama Parti Buruh. Pengerusi Hetz Ventures, Stuart Roden turut dilaporkan bertemu dengan duta tersebut sebanyak dua kali pada Julai 2024 sejurus selepas Keir Starmer membentuk kerajaan UK. Roden dilaporkan menyumbang lebih £500,000 kepada Parti Buruh dan mengekalkan komunikasi tidak rasmi dengan kepimpinan parti itu. Dia secara terbuka mempertahankan genosid Israel dengan menyifatkannya sebagai ‘pertembungan tamadun’.


Hotovely turut mengadakan pertemuan dengan wakil Rafael UK, anak syarikat pengeluar senjata milik kerajaan Israel yang terkenal dengan penghasilan sistem peluru berpandu.


Pendedahan ini menimbulkan persoalan baharu mengenai pengaruh politik, ketelusan aktiviti pelobian dan sejauh mana koordinasi antara diplomat Israel dengan institusi Britain ketika genosid di Gaza sedang berlangsung.


Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
May 7, 2026