Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Ketua Turus Tentera Zionis, Eyal Zamir pada Ahad berkata tenteranya memerlukan lebih ramai anggota. Kenyataan itu dibuat ketika krisis berkaitan pengambilan Yahudi ultra-Ortodoks atau Haredim sebagai tentera semakin meruncing, selain operasi ketenteraan yang berterusan di beberapa medan, lapor Anadolu Ajansi.

Kenyataan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Keselamatan Knesset, menurut akhbar Yediot Ahronot.

Rejim haram Israel terlibat dalam peperangan di pelbagai medan selain Gaza, termasuk dengan Iran dan Hizbullah di Lubnan. Secara rasmi, beberapa konflik tersebut berada dalam keadaan gencatan senjata, namun pelanggaran oleh Zionis dilaporkan terus berlaku tanpa henti.

“Saya tidak sibuk dengan proses politik atau perundangan, sebaliknya memberi tumpuan kepada perang pelbagai medan dan usaha menewaskan musuh,” kata Zamir. “Untuk terus melakukan perkara ini, tentera Israel memerlukan lebih ramai anggota segera.”

Pada Mac lalu, Zamir memberi amaran bahawa tentera Zionis sedang runtuh dari dalam. Amaran itu dibuat susulan kegagalan kerajaan meluluskan undang-undang bagi mengawal selia pengambilan golongan Haredim sebagai tentera dan anggota simpanan, selain kegagalannya melanjutkan tempoh perkhidmatan wajib kepada 36 bulan.

Menurut jurucakap tentera Zionis, Efi Defrin berkata tentera memerlukan kira-kira 15,000 anggota tambahan, termasuk antara 7,000 hingga 8,000 anggota tempur, sambil menambah bahawa penggubalan semula undang-undang pengambilan tentera adalah penting.

Yahudi Haredi membentuk kira-kira 13 peratus daripada penduduk negara haram Israel yang berjumlah sekitar 9.9 juta orang. Mereka tidak berkhidmat dalam tentera, sebaliknya menumpukan kehidupan kepada pengajian Taurat.

Undang-undang negara haram Israel mewajibkan semua warganya yang berusia lebih 18 tahun menjalani perkhidmatan ketenteraan, manakala pengecualian terhadap golongan Haredim terus menjadi isu pertikaian sejak beberapa dekad lalu.


Sumber: Middle East Monitor

Written by
Admin
Published on
May 11, 2026