Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Dua Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat mengumumkan sokongan terhadap usaha mengurangkan bantuan ketenteraan kepada rejim Israel, termasuk satu cadangan untuk menamatkan sepenuhnya bantuan tahunan bernilai AS$3.3 bilion yang disalurkan kepada rejim itu.

Dalam kenyataan di platform X, Casar berkata beliau akan mengundi bagi menyokong pindaan berkenaan kerana berpendapat pembayar cukai Amerika tidak seharusnya membiayai lebih banyak senjata untuk kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu. Beliau mendakwa rejim Israel telah melakukan jenayah perang di Gaza selain mengheret AS ke dalam konflik dengan Iran.

Walau bagaimanapun, Casar mengakui pindaan yang dikemukakan itu turut berpotensi menjejaskan kira-kira AS$50 juta dana diplomatik, namun menegaskan keutamaan ketika ini ialah menghentikan pembiayaan ketenteraan bernilai berbilion dolar kepada rejim Israel.

Pindaan tersebut dikemukakan oleh Ahli Kongres Republikan, Thomas Massie, sebagai sebahagian daripada RUU Peruntukan Jabatan Negara bagi Tahun Fiskal 2027. Ia bertujuan memansuhkan pakej Foreign Military Financing (FMF) bernilai AS$3.3 bilion setahun yang diterima rejim Israel di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) 10 tahun bernilai AS$38 bilion yang dimeterai pada 2016.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak melibatkan peruntukan berasingan sebanyak AS$500 juta setahun bagi sistem pertahanan peluru berpandu Israel, termasuk sistem Iron Dome.

Menurut Responsible Statecraft, Jawatankuasa Peraturan Dewan Perwakilan telah meluluskan pindaan itu untuk dibahaskan, sekali gus membuka laluan kepada undian penuh di Dewan seawal Khamis. Walaupun peluang untuk pindaan itu diluluskan dianggap tipis, undian tersebut dijangka menjadi ukuran penting terhadap pendirian setiap Ahli Kongres berhubung bantuan ketenteraan AS kepada rejim Israel.

Perkembangan itu berlaku ketika sokongan rakyat Amerika terhadap bantuan ketenteraan kepada rejim Israel semakin berbelah bahagi susulan perang di Gaza serta ketegangan yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, portal Drop Site melaporkan bahawa Ocasio-Cortez turut mengemukakan satu lagi pindaan di bawah National Defense Authorization Act (NDAA) bagi Tahun Fiskal 2027 yang mencadangkan syarat lebih ketat ke atas pemindahan senjata AS kepada negara penerima bantuan ketenteraan. Di bawah cadangan itu, mana-mana negara penerima bantuan ketenteraan AS diwajibkan mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta tidak menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan kepada orang awam.

Cadangan tersebut turut menetapkan bahawa Presiden AS perlu mengesahkan pematuhan syarat berkenaan sebelum sebarang pemindahan senjata diluluskan, selain memerlukan kelulusan Kongres melalui undang-undang berasingan.

Sumber: The Palestine Chronicle

Written by
Admin
Published on
July 1, 2026