
Menurut laporan Al Jazeera, pesawat dron Israel dilaporkan menjatuhkan dua bom berhampiran kawasan operasi mencari mayat tentera rejim Israel di semenanjung Gaza.
Serangan udara itu berlaku tidak lama selepas operasi pencarian tamat, menimbulkan kebimbangan bahawa rejim Israel sengaja menyasarkan kawasan tersebut untuk menghalang usaha pemulihan mayat.
Dalam masa yang sama, tentera rejim Israel mengumumkan bahawa pasukannya di Gaza telah menerima mayat seorang tentera tawanan rejim Israel melalui Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC). Penyerahan itu dilakukan selepas sayap ketenteraan HAMAS, Briged Al-Qassam, mengesahkan bahawa pasukannya telah menemui mayat berkenaan dalam operasi pencarian di kawasan Al-Tuffah.
Briged Al-Qassam dalam kenyataan ringkas memaklumkan bahawa mayat tersebut ditemui pada Isnin dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa rejim Israel pada jam 9 malam waktu Gaza. Menurut laporan, anggota ICRC bersama pasukan Al-Qassam mengiringi jentera kejuruteraan dan pasukan pemulihan ke lokasi tersebut.
Saluran media Israel 13 dan Kan melaporkan bahawa ICRC telah memaklumkan tentera rejim Israel lebih awal mengenai penyerahan mayat itu dan pegawai di Tel Aviv mengesahkan bahawa persiapan penerimaan mayat telah dibuat.
Sumber kanan pergerakan penentangan Palestin melaporkan kepada Al Jazeera bahawa HAMAS dan faksi-faksi lain sedang berusaha dalam keadaan yang sangat sukar untuk mendapatkan semula baki mayat tentera Israel. Sumber itu menjelaskan bahawa kekurangan peralatan dan jentera penggalian menjadi halangan utama yang memperlahankan proses berkenaan.
“Sekiranya peralatan penggalian yang sesuai dapat disediakan, pasukan penentangan mampu menemui lebih banyak mayat dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menggesa HAMAS mempercepatkan usaha mencari dan menyerahkan mayat tentera rejim Israel. Bercakap dalam pesawat presiden bersama Presiden AS, Donald Trump, beliau mendakwa rejim Israel tidak melanggar perjanjian gencatan senjata.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan bermula pada 10 Oktober lalu. Sejak itu, HAMAS telah membebaskan 20 tawanan Israel yang masih hidup dan menyerahkan 16 mayat tentera lain. Gerakan itu menyatakan bahawa masih ada 12 mayat lagi yang belum ditemui.
HAMAS menegaskan komitmennya untuk melaksanakan proses pemulihan sepenuhnya, namun memerlukan lebih banyak masa berikutan kemusnahan besar-besaran akibat serangan Israel yang berlarutan lebih setahun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos untuk membina semula wilayah itu mencecah AS$70 bilion.
Sumber: Quds News Network