Dokumen dalaman Meta mendedahkan syarikat-syarikat Israel kini menghadapi kesukaran besar dalam menarik pelanggan di peringkat global. Difahamkan dokumen itu telah dibocorkan kepada portal berita bebas AS, Drop Site News.
Laporan yang diterbitkan pada Isnin oleh Drop Site mendedahkan bahawa data daripada Meta menunjukkan lonjakan mendadak dalam kos pengiklanan untuk syarikat Israel yang menggunakan platform seperti Facebook dan Instagram bagi menarik pengguna.
Krisis ini berlaku di tengah-tengah kemarahan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza yang mengakibatkan kemusnahan besar dan kehilangan nyawa orang awam Palestin. Akibatnya, syarikat-syarikat Israel dilaporkan perlu membelanjakan lebih banyak untuk iklan walaupun sambutan pengguna semakin menurun.
Setakat tahun 2025, jumlah klik yang diterima oleh iklan syarikat-syarikat Israel hanyalah 39.2 peratus berbanding jumlah keseluruhan pada tahun 2023. Ini menjelaskan mengapa mereka kini perlu membayar lebih dua kali ganda untuk setiap klik yang diterima.
Dokumen tersebut memaparkan metrik utama dikenali sebagai cost-per-click (CPC) — iaitu kos purata yang perlu dibayar bagi setiap klik oleh pengguna — yang meningkat secara dramatik sebanyak 155.3 peratus dalam tempoh dua tahun, daripada $0.094 pada 2023 kepada $0.24 pada 2025. Kenaikan ini adalah yang tertinggi di dunia, dengan Iraq dan Pakistan mencatat peningkatan tertinggi seterusnya.
Secara keseluruhannya ,sejak 2023 syarikat-syarikat Israel telah membelanjakan antara $1.8 bilion hingga $1.9 bilion untuk pengiklanan di platform Meta. Namun, keberkesanan perbelanjaan ini menurun dengan ketara, menurut dokumen yang turut menyenaraikan beberapa syarikat Israel yang kini tersenarai dalam kempen boikot global.
Drop Site juga melaporkan bahawa Meta mengalami penyusutan pendapatan daripada Israel, sejajar dengan penurunan sokongan pengguna global terhadap jenama-jenama Israel. Perbelanjaan iklan dari Israel di platform Meta dilaporkan menurun sebanyak lapan peratus dalam tempoh 2023 hingga 2024.
Sumber: Lorient Today