Pasukan unit khas HAMAS, Sahm di Gaza mengesahkan bahawa kumpulan yang disokong Israel, diketuai oleh Yasser Abu Shabab telah melakukan rampasan terhadap 70 trak bantuan kemanusiaan di Gaza selatan pada hari Rabu.
Pada hari yang sama, ketua-ketua bahagian dan unit dari pasukan Sahm yang ditugaskan untuk melindungi konvoi bantuan, berjaya memastikan keselamatan sebahagian kecil trak bantuan. Bantuan tersebut kini akan diagihkan melalui Program Makanan Sedunia (WFP).
Namun, laporan sahih yang diperoleh Sahm menunjukkan bahawa beberapa ketua kumpulan dan keluarga yang bertindak atas arahan Abu Shabab, telah terlibat secara langsung dalam rampasan itu.
Yasser Abu Shabab mempunyai sejarah panjang dalam kegiatan penyeludupan dadah dan kerjasama dengan kumpulan ekstremis. Kumpulan bersenjata itu dianggarkan memiliki lebih 200 orang anggota telah membina markas kubu di kawasan yang dikawal Israel di Rafah. Kawasan tersebut yang digelar ‘zon maut’, biasanya tidak boleh diakses oleh penduduk Gaza, sekali gus menimbulkan kecurigaan kuat mengenai keterlibatan langsung Israel.
Baru-baru ini, puak-puak penentangan Palestin telah menyiarkan rakaman video yang menunjukkan ahli kumpulan Abu Shabab terlibat dalam operasi rahsia bersama tentera Israel, termasuk menyamar dalam operasi memburu pejuang Palestin di Rafah.
Pasukan Sahm juga mengeluarkan amaran akhir: “Semua barang bantuan yang dirampas mesti dipulangkan ke pusat simpanan yang sah dan diiktiraf antarabangsa dalam tempoh 10 jam. Mereka menegaskan akan mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan keadilan ditegakkan dan maruah rakyat dikembalikan.”
Dalam kenyataan berasingan semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendakwa bahawa HAMAS mengawal dan mencuri bantuan kemanusiaan. Mereka turut mengumumkan bahawa tentera Israel diberi arahan untuk merangka pelan baru dalam masa 48 jam bagi ‘menghalang Hamas daripada menguasai bantuan kemanusiaan di Gaza.’
Sebagai tindak balas, Pejabat Media Kerajaan Gaza menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha untuk membenarkan sekatan berterusan, kelaparan terancang terhadap orang awam dan gangguan terhadap bantuan kemanusiaan yang telah berlarutan selama 118 hari berturut-turut.
Pejabat tersebut menambah bahawa keluarga Palestin dan kumpulan puak tempatan telah mengambil inisiatif sendiri untuk mengiringi bantuan di Gaza utara — tanpa campur tangan dari kerajaan mahupun puak politik. Mereka menyifatkan usaha ini sebagai respon akar umbi demi membekalkan sedikit makanan kepada ratusan ribu rakyat yang kebuluran.
Sumber: Quds News Network