
Dana Board of Peace yang diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilapor tidak mempunyai dana mencukupi untuk pelan pembangunan Gaza dan kini berada dalam keadaan tergantung dari sudut undang-undang dan politik, menurut laporan The Financial Times pada Rabu semalam.
Laporan itu menyusuli pendedahan eksklusif Middle East Eye bahawa seorang pegawai kanan pentadbiran Trump telah berkunjung ke Arab Saudi pada April lalu bagi meminta Riyadh meneruskan janji sumbangan AS$1 bilion kepada lembaga tersebut.
Menurut sumber Arab dan pegawai AS yang dipetik Middle East Eye, Aryeh Lightstone, antara pegawai utama AS yang menyelia perancangan pasca perang Gaza, telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Arab Saudi, Faisal bin Farhan Al Saud bagi membincangkan komitmen kewangan tersebut.
Board of Peace atau Lembaga Keamanan ini diwujudkan selepas AS menjadi perantara gencatan senjata pada Oktober 2025 bagi menamatkan perang rejim Israel ke atas Gaza. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pakar hak asasi manusia dan beberapa pemimpin dunia sebelum ini mengiktiraf perang tersebut sebagai genosid, dengan lebih 72,800 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Gaza.
Walaupun Trump sebelum ini mengumumkan bahawa lembaga itu bakal menjadi antara inisiatif ‘paling berpengaruh’ dalam sejarah dunia dan berjaya memperoleh janji sumbangan bernilai berbilion dolar daripada negara Teluk, Financial Times melaporkan bahawa empat bulan selepas penubuhannya, tabung kewangan yang diwujudkan melalui Bank Dunia masih belum menerima sebarang dana rasmi.
Sebaliknya, lembaga itu dilaporkan menerima sumbangan terus melalui akaun JPMorgan miliknya. Mekanisme tersebut membolehkan organisasi itu tidak perlu mendedahkan sumber pembiayaan kepada penderma atau 25 negara anggota yang terlibat.
Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai pihak sebenar yang membiayai lembaga tersebut serta pegawai AS dan antarabangsa yang bekerjasama dengannya.
Laporan itu turut menyebut bahawa Lightstone dan beberapa penasihat AS sebelum ini menetap di dua buah hotel mewah tepi pantai di Tel Aviv, iaitu Kempinski dan Hilton, ketika merangka ‘pelan masa depan’ Gaza.Penasihat AS juga didakwa merangka cadangan menjadikan Gaza sebagai hab teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bandar mega, yang dikritik oleh banyak pihak sebagai usaha pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.
Dalam wawancara bersama The New York Times pada November lalu, Lightstone mengesahkan bahawa salah satu cadangan termasuk membina penempatan khas untuk ribuan rakyat Palestin yang telah ‘disaring’ untuk tinggal di luar Garisan Kuning di Gaza; kawasan yang kini berada di bawah kawalan tentera rejim Israel.
Setakat ini, lembaga tersebut hanya menerima beberapa sumbangan kecil bagi membayar gaji kakitangan. Maghribi dilaporkan menyumbang AS$3 juta manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyalurkan AS$20 juta bagi menubuhkan pejabat Nickolay Mladenov serta membiayai teknokrat Palestin yang bekerja di bawahnya.
Trump mengetuai lembaga itu, manakala Nickolay Mladenov, bekas utusan PBB dan tokoh kanan Akademi Diplomatik Anwar Gargash milik UAE, dilantik sebagai wakil khas bagi Gaza pasca perang.
Financial Times turut melaporkan bahawa dana AS$100 juta daripada UAE yang diperuntukkan bagi melatih pasukan polis Palestin juga kini dibekukan. Ahli perniagaan Palestin-Amerika, Bishara Bahbah, yang membantu AS dalam rundingan gencatan senjata dengan HAMAS, menyifatkan kedudukan kewangan lembaga itu sebagai sangat suram.
Menurut beliau, organisasi tersebut masih gagal memulakan sebarang operasi di Gaza berikutan ketiadaan dana untuk melaksanakan apa-apa di lapangan.
Sumber: Middle East Eye