Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Sebuah rakaman yang disiarkan oleh kumpulan pendatang haram Yahudi pada Rabu semalam menunjukkan percubaan mereka untuk membawa masuk dan menyembelih haiwan korban sebagai ritual sempena Hari Paskah Yahudi (2-9 April) di halaman Masjid al-Aqsa. Hal ini berlaku tatkala penutupan Masjid al-Aqsa oleh pihak rejim Israel kepada jemaah Muslim Palestin memasuki hari ke-33. Kumpulan pendatang haram itu turut menyeru orang ramai agar menyokong fasa kedua rancangan Yahudisasi Masjid al-Aqsa dan upacara menyembelih haiwan korban di kawasan halaman masjid.


Dalam langkah provokatif yang ketara, puluhan pendatang haram Yahudi dilihat melaksanakan ritual keagamaan Talmudik di Bab al-Sahira, salah satu pintu utama Kota Lama Baitul Maqdis, di bawah pengawalan ketat pasukan tentera Israel.


Sementara itu, pihak Gabenor Baitul Maqdis menyatakan bahawa tahun 2025 sahaja telah menyaksikan tiga cubaan yang belum pernah berlaku sebelum ini yang menyaksikan usaha membawa masuk haiwan korban ke dalam kawasan masjid. Hal ini termasuk insiden di mana haiwan disembelih atau daging dalam keadaan berlumuran darah dibawa masuk. 


Pemerhati menasihati agar berhati-hati terhadap seruan yang dilancarkan oleh Kumpulan Bait Suci. Seruan itu menyeru supaya haiwan korban seperti kambing atau biri-biri dibawa ke dalam kawasan masjid, yang dianggap sebagai salah satu provokasi agama paling berbahaya dalam beberapa dekad terakhir ini. Tujuan percubaan ini jelas, iaitu untuk mewujudkan realiti baru di dalam Al-Aqsa, melebihi sekadar lawatan harian. Mereka merancang untuk melaksanakan sepenuhnya upacara keagamaan Taurat di dalam masjid, sekali gus berpotensi mencetuskan ketegangan di bandar suci itu.


Ketegangan ini berlaku di tengah-tengah langkah-langkah ketenteraan ketat yang dikenakan oleh pihak pendudukan, di mana ribuan rakyat Palestin dihalang daripada mengunjungi Masjid al-Aqsa dan menunaikan solat dan beribadah di sana untuk hari ke-33 berturut-turut. Sementara warga pendatang haram diberikan perlindungan dan kemudahan penuh untuk mengadakan perarakan dan ritual provokatif mereka.


Para aktivis dan institusi di Baitul Maqdis telah mengeluarkan seruan kecemasan bagi menangani perkembangan semasa yang kian membimbangkan. Mereka menegaskan bahawa keheningan masyarakat antarabangsa hanya menggalakkan pihak pendudukan serta pendatang haram Yahudi untuk terus melaksanakan agenda pembahagian masa dan kawasan di Masjid al-Aqsa.


Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) menyeru agar menggerakkan mobilisasi umum dan himpunan rakyat di seluruh tempat, sebagai menunjukkan sokongan terhadap kesucian Masjid al-Aqsa dan solidariti bersama para tahanan Palestin, di tengah-tengah serangan berterusan, pelanggaran serius dan penutupan sewenang-wenangnya masjid sebagai pusat ibadah.


Gerakan itu turut menekankan bahawa peningkatan jenayah pihak pendudukan terhadap tahanan, termasuk kelulusan Undang-undang Hukuman Mati, merupakan jenayah terancang dan eskalasi berbahaya. Ia turut menyeru rakyat Palestin, seluruh umat Arab dan Islam serta masyarakat antarabangsa untuk mengadakan demostrasi dan solidariti pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad (3, 4, dan 5 April) ini.


HAMAS menekankan bahawa hari Jumaat yang akan datang (3 April) akan dijadikan sebagai Jumaat Masra (Masjid al-Aqsa) dan Tahanan. Ia menyeru agar Jumaat 3 April ini dijadikan hari kemarahan rakyat besar-besaran di seluruh dunia, sebagai penegasan sokongan terhadap Al-Aqsa dan penolakan terhadap polisi pendudukan.


Selain itu, HAMAS turut menyeru agar pergerakan antarabangsa terus digerakkan dan diperluaskan, dengan cara meningkatkan semua bentuk tekanan terhadap kerajaan rejim Israel demi menghentikan pelanggaran ke atas rakyat Palestin dan tempat suci Islam. HAMAS juga menegaskan bahawa fasa ini merupakan fasa yang memerlukan penyatuan usaha dan memperhebat tindakan rakyat di seluruh peringkat.


Sumber: Shehab News, Middle East Monitor

Written by
Admin
Published on
April 2, 2026