Presiden Colombia, Gustavo Petro telah mengarahkan pengusiran seluruh delegasi diplomatik Israel dari Colombia, satu langkah yang dicetuskan akibat penahanan dua warga Colombia di atas sebuah flotila yang cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Manuela Bedoya dan Luna Barreto merupakan sebahagian daripada kru Global Sumud Flotilla. Menurut kenyataan daripada Global Movement to Gaza, tentera Israel telah menahan mereka secara haram selepas flotila tersebut memasuki kawasan berisiko tinggi sejauh 150 batu nautika dari pesisir pantai.
“Selepas mencapai 150 batu nautika ... kapal-kapal Israel mula berada di kedudukan maritim masing-masing pada jam 23:59 UTC (6.59 pm waktu Colombia),” kata kenyataan itu. Ia menyifatkan tindakan itu sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva.
Petro memberi amaran di X bahawa jika laporan itu benar, ia akan menjadi satu jenayah antarabangsa baharu oleh Benjamin Netanyahu. Beliau juga menegaskan, “Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Israel segera dibatalkan.” Awal minggu ini, Petro telah menyatakan hasratnya untuk menggantung perjanjian dengan Israel.
Walaupun Petro telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel pada Mei 2024, kenyataannya kali ini lebih agresif dengan mengarahkan mana-mana wakil diplomatik Israel yang masih tinggal supaya segera meninggalkan wilayah Colombia.
Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Luar Negeri akan memfailkan tuntutan mahkamah, termasuk di mahkamah Israel serta menggesa peguam antarabangsa untuk menyokong pasukan guaman Colombia.
Sumber: TRT World